X

Kindly register in order to view this article
!

‘Rasuah bukan budaya’

Kesedaran mengenai bahayanya rasuah dalam kalangan masyarakat amat kurang, malah ramai masih menganggapnya sebagai satu budaya atau kebiasaan. Gambar kecil: Kok Seong
A
A

SHAH ALAM - Kesedaran sejak awal serta pendidikan agama perlu menjadi instrumen penting dalam mengekang gejala atau salah laku rasuah di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kedua-dua elemen itu perlu bergerak seiring dan berterusan dalam usaha membanteras rasuah.

Beliau berkata, jika dilihat pada masa ini, kesedaran mengenai bahayanya rasuah dalam kalangan masyarakat amat kurang, malah ramai masih menganggapnya sebagai satu budaya normal atau kebiasaan.

“Kesedaran bahawa rasuah itu salah, satu dosa serta perbuatan jijik perlu diberi penekanan dan dipertingkatkan khususnya sejak dari bangku sekolah.

“Guna semula saluran agama di mana orang Melayu diberi pengetahuan tentang hal itu menerusi Pendidikan Islam, manakala bagi yang bukan Melayu ia perlu diterapkan melalui subjek Pendidikan Moral,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Tegasnya, rata-rata masyarakat Malaysia beragama dan berpedoman, malah jika kesedaran berkenaan dipupuk dan didedahkan sejak awal dari sudut agama dan moral, keberkesanannya akan dapat dilihat setelah mereka meningkat dewasa dan berdepan dunia sebenar.

“Daripada kesedaran, ia akan mewujudkan keinsafan dan barulah masukkan elemen bahawa rasuah itu tidak baik serta berbahaya dan boleh meruntuhkan negara.

“Justeru, pengukuhan dari segi agama dan kesedaran itu amat penting,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini gejala rasuah dalam negara, Kok Seong berkata, tidak dinafikan ia berada pada tahap yang membimbangkan, namun banyak usaha atau ikhtiar untuk membasminya dengan lebih serius telah dibuat berbanding sebelum ini.

“Malah banyak kempen untuk membanteras rasuah turut dilaksanakan pelbagai pihak termasuk yang digerakkan Sinar Harian menerusi #RasuahBuster.

“Kesemua ini wajar mendapat sokongan rakyat, namun pada masa sama bara yang dihidupkan perlu dilakukan berterusan agar ia tidak padam atau hilang selepas satu ketika,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!