Bangladesh kecoh kerana Akta Keselamatan Digital

Gambar fail menunjukkan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh bertempur dengan anggota polis dalam satu tunjuk perasaan bagi menuntut bela kematian seorang pengkritik kerajaan.
Gambar fail menunjukkan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh bertempur dengan anggota polis dalam satu tunjuk perasaan bagi menuntut bela kematian seorang pengkritik kerajaan.
A
A
A

BANGLADESH dilanda satu siri tunjuk perasaan sejak Jumaat lalu yang menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan sehari selepas kematian seorang pengkritik kerajaan di sebuah penjara negara itu.

Pengkritik kerajaan itu, Mushtaq Ahmed, 53, sebelum ini pengsan dan meninggal dunia pada Khamis lalu iaitu hampir 10 bulan selepas dia ditangkap di bawah Akta Keselamatan Digital Bangladesh (DSA) kerana komennya di Facebook yang didakwa mengkritik kerajaan.

Dalam komen itu, beliau mempertikaikan cara kerajaan bertindak balas terhadap pandemik Covid-19 di negara tersebut yang mencatatkan lebih 8,000 kematian dan lebih 547,000 kes sehingga Selasa lalu manakala 498,000 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Mushtaq dilaporkan meninggal dunia di sebuah penjara yang mempunyai kawalan keselamatan ketat di daerah Gazipur iaitu 32 kilometer dari ibu negara, Dhaka dan punca kematiannya masih belum diketahui dengan jelas.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan baru-baru ini mengarahkan satu siasatan dilakukan berhubung kejadian tersebut.

Menurut portal berita The Print, pihak berkuasa jel Kashimpur di Gazipur berkata, Mushtaq jatuh sakit dengan tiba-tiba pada Khamis lalu iaitu pada waktu malam dan dia kemudian dibawa ke hospital di penjara tersebut.

Dia yang juga terkenal sebagai penternak buaya kemudian dihantar ke Hospital Kolej Perubatan Shaheed Tajuddin Ahmed, Gazipur yang kemudian telah meninggal dunia semasa tiba di hospital tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mushtaq Ahmed pengsan di sebuah penjara sebelum meninggal dunia di hospital Gazipur, Bangladesh.
Mushtaq Ahmed pengsan di sebuah penjara sebelum meninggal dunia di hospital Gazipur, Bangladesh.

Pengkritik kerajaan itu ditahan bersama seorang kartunis politik, Kabir Kishore dan dua yang lain dituduh melanggar akta DSA kerana menyebarkan teori konspirasi dan khabar angin yang menentang kerajaan berhubung pandemik Covid-19.

Mushtaq kemudian dikenakan dakwaan oleh polis kerana menyebarkan khabar angin di media sosial, merosakkan imej pengasas Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman yang juga bapa kepada Perdana Menteri negara itu kini, Sheikh Hasina dan menjejaskan semangat perang pembebasan pada tahun 1971.

Menurut portal berita The Print, Mushtaq menerbitkan satu artikel yang mengkritik kekurangan peralatan perlindungan peribadi untuk doktor manakala Kishore menyiarkan satu siri kartun dalam Facebook berjudul Kehidupan pada waktu Korona (Covid-19) dan satira tentang parti pemerintah serta tuduhan berlakunya rasuah ketika tindak balas kerajaan terhadap pandemik Covid-19.

Tujuh orang lagi dilaporkan turut ditahan atas tuduhan yang sama tetapi tidak dipenjara manakala dua yang lain dibebaskan dalam kes tersebut tetapi menurut laporan media tempatan, permohonan jaminan Mushtaq dan Kishore ditolak sebanyak enam kali.

Sebelum ini, Mushtaq ditahan pada 6 Mei tahun lalu di bawah undang-undang DSA itu.

Kematiannya telah mencetuskan protes dekat Universiti Dhaka pada Jumaat lalu dan diadakan selama empat hari berturut-turut sehingga Isnin lalu yang menuntut keadilan terhadap kematian Mushtaq dan pemansuhan DSA.

Polis juga dikatakan memfailkan satu kes terhadap hampir 300 pemimpin dan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan pertubuhan-pertubuhan yang bersekutu dengannya berhubung tunjuk perasaan yang berlaku di depan Kelab Akhbar Jaitya ekoran protes tentang kejadian kematian Mushtaq di dalam penjara.

Isu DSA itu menjadi kontroversi sejak ia diluluskan di Parlimen Bangladesh pada tahun 2018 yang menentapkan hukuman penjara sehingga 14 tahun terhadap kesalahan melakukan propaganda atau kempen bagi menentang perang kemerdekaan negara tersebut, pengasas tanah air itu, lagu kebangsaan atau bendera negara berkenaan.

Ia turut menyatakan seseorang mungkin dipenjarakan sehingga 10 tahun penjara kerana kesalahan merosakkan keharmonian kaum atau mencetuskan kekacauan dan ketidaktenteraman.

Menurut AFP, tangkapan boleh dilakukan di bawah DSA tanpa memerlukan waran tangkap dikeluarkan terlebih dahulu.

"Kami telah membina sebuah (komuniti) digital Bangladesh dan sudah menjadi tugas kita untuk menyediakan penduduk dengan keselamatan digital," kata Sheikh Hasina pada Sabtu lalu.

Hampir 2,000 kes telah difailkan di bawah DSA dengan sasarannya ialah golongan wartawan berdasarkan data daripada Tribunal Jenayah Siber Bangladesh, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International.

Akta itu yang digubal ketika Sheikh Hasina, 73, memerintah negara tersebut dengan tegas melalui Parti Liga Awami sejak berkuasa pada tahun 2009 dan memenangi dua pilihan raya pada tahun 2014 serta 2018.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet baru-baru ini turut meminta siasatan dilakukan terhadap kematian Mushtaq dan kajian semula dilakukan terhadap DSA.

Duta-duta asing dari 13 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Kanada dan Jerman turut menyuarakan kebimbangan tentang pelaksanaan DSA dan kematian Mushtaq di dalam penjara serta meminta satu siasatan dilakukan berhubung kejadian itu. - Agensi