Undi tidak percaya bukan perkara utama jika Parlimen bersidang

RSN Rayer - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
RSN Rayer - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri bukan merupakan perkara utama sekiranya Parlimen bersidang semula.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, apa yang perlu sebagai ahli Parlimen pembangkang adalah untuk memastikan bahawa mereka memberi sokongan dengan cara yang konstruktif.

“Umpamanya saya berbalik kepada isu pembelajaran begitu penting sekarang di samping isu kesihatan.

“Bagaimanakah cadangan untuk memberikan komputer riba akan dilaksanakan kerana sehingga sekarang kita tidak lihat lagi komputer riba diedarkan kepada pelajar walaupun telah diumumkan 150,000 unit komputer riba dan (peruntukan) RM100 juta (semasa bajet),” katanya ketika ditanya adakah pembangkang akan mengusulkan undi tidak percaya apabila Parlimen bersidang.

Rayer berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-235 bertajuk ‘Sidang Parlimen Ketika Darurat: Demi Politik Atau Rakyat’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Rayer berkata, semua ahli Parlimen mempunyai tugas untuk membangkitkan perkara berkenaan dan ia mustahil dilakukan kecuali Parlimen bersidang.

Dalam pada itu, Rayer turut menjelaskan bahawa ahli Parlimen pembangkang masih mementingkan bagaimana untuk mengawal wabak Covid-19, memberi keutamaan kepada perkara yang melibatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin persepsi dan tanggapan salah di sisi rakyat bahawa kita ahli Parlimen pembangkang mendesak untuk mengadakan persidangan Parlimen dan tidak mementingkan kebajikan rakyat adalah tidak betul.

“Apa yang perlu dilihat sekarang tentang beberapa perkara ketika kita masih menghadapi wabak Covid-19, kita masih juga perlu menangani masalah yang melibatkan rakyat,” katanya.