X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen UMNO beri sokongan kerajaan PN sehingga Parlimen bubar

Tan Sri Noh Omar. -Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen UMNO akan memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga parlimen dibubarkan.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pendirian berkenaan telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau turut mahu memperbetulkan kekeliruan orang ramai bahawa ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya menyokong kerajaan PN.

“Bagi kita, kerajaan PN yang ditubuhkan berdasarkan sokongan ahli Parlimen pada masa itu. Kami nak menyelamatkan rumah baru. (Selain itu) kita juga ada Muafakat Nasional (MN). Kita akan memperkukuhkan MN. Ini kita punya prinsip,” katanya ketika ditanya apa pendirian UMNO dalam PN sebelum Parlimen bersidang.

Noh berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-235 bertajuk ‘Sidang Parlimen Ketika Darurat: Demi Politik Atau Rakyat’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Moderator, Ismail Adnan bersama panel, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang membincangkan tajuk 'Sidang Parlimen Ketika Darurat: Demi Politik Atau Rakyat' pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-235 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Moderator, Ismail Adnan bersama panel, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang membincangkan tajuk 'Sidang Parlimen Ketika Darurat: Demi Politik Atau Rakyat' pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-235 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam wacana yang berlangsung lebih satu jam itu juga, Noh turut mempersoalkan sikap segelintir ahli Parlimen yang meninggalkan parti yang diwakili oleh mereka.

“Kalau Noh Omar bertanding atas tiket Bebas, saya ingat saya tidak boleh menang dekat Tanjung Karang. Kita menang kerana jentera parti. Orang sokong perjuangan parti kita. Jadi mengapa bila kita dah menang kita nak tinggalkan parti kiita? Sebab parti itulah saya bergelar Yang Berhormat,” katanya.

Menurut Noh, beliau akan tetap bersama UMNO dan BN serta tidak akan meninggalkan parti itu walau apa-apa terjadi.

Dalam pada itu, Noh turut menggesa agar Parlimen dibenarkan bersidang kerana pelbagai perkara boleh dibaiki, dibahas dan diberi pandangan.

“Ordinan (darurat) sebagai contoh. Kalau tengok ordinan yang dibentangkan kalau bawa dalam Parlimen saya ingat banyak yang boleh dibaiki. Kita kena berikan pandangan.

“Bagi saya, sebagai ahli Parlimen bukan sahaja pandangan untuk membahaskan ordinan-ordinan ataupun bil-bil tapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita nak menyuarakan masalah rakyat,” jelasnya.

Noh menambah, di dalam Parlimen terdapat tiga kategori iaitu Parlimen dalam bandar, separuh bandar dan luar bandar.

“Masalah penduduk dalam bandar, separuh bandar dan luar bandar tidak sama. Contohnya kalau nak bawa masalah nak buka sekolah.

“Saya percaya mungkin ahli Parlimen dalam bandar tidak setuju sebab dalam bandar banyak kes Covid-19 dan mereka tidak ada masalah (sekolah tidak dibuka) sebab internet laju,” katanya.

Bagaimanapun, Noh berkata, jika berbahas di Parlimen, beliau akan meminta sekolah dibuka di kawasan Tanjung Karang kerana internet di kawasan berkenaan lemah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!