MOSTI mulakan projek pengesanan vaksin dengan teknologi Blockchain

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan MIMOS, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), telah memulakan projek pengesanan vaksin yang berkaitan dengan teknologi Blockchain di peringkat konsep.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penjejakan vaksin boleh digunakan bukan hanya untuk Covid-19 tetapi juga bagi vaksin atau ubat-ubatan lain di Malaysia.

"Ia akan dimulakan dengan siri setiap ubat, dengan penjejakan dilakukan dari pengilang hingga ke rantaian bekalan kepada doktor yang memberikan ubat serta individu yang menerimanya.

"Sistem ini kemudian dapat digunakan untuk menyediakan Sijil Kesihatan Digital yang memenuhi piawaian antarabangsa, misalnya CommonPass yang disokong oleh Forum Ekonomi Dunia dan Yayasan Rockefeller sehingga memudahkan pergerakan perjalanan dan rentas sempadan," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, antara aplikasi teknologi Blockchain adalah untuk mengesan pergerakan ubat-ubatan yang mana di peringkat global, teknologi Blockchain dalam industri penjagaan kesihatan dianggarkan bernilai sekitar AS$500 juta (RM2,044 juta) menjelang 2022.

Ahmad Amzad berkata, Blockchain dapat digunakan dalam penilaian insurans dan tuntutan, pengesahan penyedia penjagaan kesihatan, rantai bekalan ubat dan peranti, catatan kesihatan diri dan pertukaran data kesihatan serta penyelidikan dan penilaian klinikal.

"Blockchain boleh digunakan untuk mengesahkan kesahihan ubat-ubatan dan ini membantu membuktikan salasilah ubat-ubatan dari sudut pembuatan hingga penggunaan... sebagai contoh, Blockchain boleh digunakan untuk mengesan vaksin dari kilang pembuatan hingga ke tahap pentadbiran dan pengedaran,” katanya.

Beliau berkata, Blockchain juga menambah baik akses kepada rekod perubatan pesakit yang mana buat masa ini, institusi yang menyimpan rekod perubatan elektronik mempunyai kekangan apabila pangkalan data di sebuah hospital tidak dapat ‘bercakap’ dengan rakan sejawatnya di hospital lain disebabkan operasi berasingan dan menggunakan perisian berbeza.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini menyebabkan tahap kecekapan yang rendah antara hospital yang berbeza apabila berurusan dengan pesakit yang sama.

"Blockchain yang dapat diakses secara universal akan membolehkan data diakses oleh pihak berkepentingan yang berkaitan secara selamat dan disahkan... akses dapat diberikan oleh pesakit dengan menggunakan kontrak pintar.

"Ini bukan sahaja meletakkan kawalan data kesihatan diri di tangan individu tetapi juga memudahkan rawatan bagi penyakit berulang dan mengurangkan kelewatan rawatan yang tepat," katanya.

Beliau berkata, konsep sama dapat membantu meningkatkan kecekapan tuntutan insurans perubatan yang mana sebagai pesakit, seseorang itu mungkin berurusan dengan doktor dan klinik atau hospital berbeza, menyebabkan sejarah perubatan berada di tempat berasingan.

"Menempatkan rekod perubatan pada Blockchain yang membolehkan akses yang sesuai bukan sahaja membolehkan akses yang lebih cepat bagi syarikat insurans tetapi juga membantu mengurangkan kejadian penipuan," katanya.

Ahmad Amzad berkata, teknologi seperti Blockchain juga boleh digunakan dalam pelbagai bidang daripada pertanian kepada perikanan, kesihatan kepada pendidikan dan pelbagai lagi yang mampu melonjakkan tahap sosioekonomi negara.

Beliau berkata, Blockchain boleh digambarkan sebagai satu pangkalan data yang dikongsi antara pengguna tertentu dengan cara teredar dan tersebar.

"Dengan cara ini, tidak ada seorangpun yang mempunyai kawalan ke atas pangkalan data ini yang mana pangkalan data ini juga terdapat log digital bagi semua transaksi yang berkaitan... data yang tersimpan juga selamat melalui kaedah kriptografi.

"Blok data ini dirantai bersama dan menghasilkan satu rekod audit yang tidak boleh diubah... kombinasi ciri-ciri ini memberikan peluang unik untuk penggunaan Blockchain dalam pelbagai bidang dan dapat melonjakkan tahap sosioekonomi negara," katanya. - Bernama