Selangor, Kuala Lumpur catat bacaan kualiti udara tidak sihat

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan tujuh kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat dengan lima di Selangor dan masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara kawasan tersebut ialah di Johan Setia, Banting, Petaling Jaya, Klang, Shah Alam, Cheras dan Rompin.

Menurutnya, punca kualiti udara tidak sihat adalah disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka di dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering bermula pertengahan Februari lalu.

“Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang pada hari ini (Selasa) susulan kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari lalu.

“Manakala pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang yang mula dikesan pada 5 Februari lalu dengan 5 lokasi kebakaran melibatkan anggaran jumlah keluasan tiga ekar telah menyebabkan kualiti udara tidak sihat di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Selasa, beliau turut berkata, ia menunjukkan sembilan kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 51 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Katanya, JAS telahpun mengesan kebakaran belukar di kawasan Rompin dengan anggaran keluasan 10 ekar pada Selasa yang meningkatkan bacaan IPU di stesen kualiti udara Rompin, Pahang.

“Saya telah mengarahkan pihak JAS untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kes-kes pembakaran terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, pihak JAS telah menyediakan enam kertas siasatan, mengeluarkan satu kompaun dan empat notis arahan serta arahan di lapangan.

“Malah tindakan tegas juga telah diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara,” katanya.