Dua warga Pakistan ditahan, disyaki bunuh rakan senegara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hutang dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang lelaki warga Pakistan yang mayatnya ditemukan di sebuah rumah di Jalan Sentul di sini pada 18 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ia susulan penangkapan dua lelaki rakan senegara mangsa.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berusia 22 dan 40 tahun itu ditangkap pada hari sama dan siasatan mendapati mangsa berhutang beberapa ribu ringgit dengan suspek.

"Dalam kejadian 18 Februari itu, mayat pekerja restoran tersebut ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas lantai di dalam bilik tidurnya oleh rakan sekerja mangsa dan dipercayai telah meninggal dunia kira-kira 10 jam sebelum mayatnya ditemukan.

“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat mendapati ada unsur jenayah memandangkan terdapat kecederaan pada leher mangsa akibat tetakan,” katanya pada sidang media, di sini pada Selasa.

Eng Lai berkata, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman selama 14 hari hingga 7 Mac ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Artikel Berkaitan: