AIM kekal sebagai badan amanah persendirian

Lajim Ukin
Lajim Ukin
A
A
A

SHAH ALAM - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memaklumkan pihaknya masih lagi kekal sebagai badan amanah persendirian dengan berbekalkan peranan dan fungsi sedia ada.

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, dakwaan berhubung AIM akan diswastakan itu adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau berkata, pihaknya telah menerima beberapa cadangan kerjasama dari syarikat swasta untuk menubuhkan Bank Digital di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia.

“AIM juga sedang berusaha mengembangkan lagi peranannya untuk menjadi sebuah Bank Digital tanpa menjejaskan Skim Pinjaman Mikro Kredit khusus untuk sahabat AIM.

“Setelah menilai dan menerima maklum balas dari pelbagai pihak, kami membuat keputusan akan terus kekal dengan prinsip, peranan dan fungsi seperti sedia ada tanpa menjejaskan kebajikan pekerja dan Sahabat AIM,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagi memastikan tanggungjawab dan matlamat tersebut terlaksana, Lajim berkata, pihaknya telahpun membuat pinjaman sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan dan institusi kewangan dalam negara sepanjang penubuhannya.

Menurutnya lagi, fokus utama AIM pada tahun ini adalah untuk memperkasakan Sahabat AIM sedia ada melalui pinjaman mikro kredit, selain membantu Sahabat dalam pemasaran digital sejajar dengan cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19.

“AIM juga komited membantu Sahabat yang terkesan akibat bencana dengan menyalurkan bantuan sewajarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta menjelaskan apakah benar spekulasi yang mendakwa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diswastakan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dakwaan tersebut perlu dijawab oleh kerajaan kerana ia membabitkan usaha membasmi kemiskinan di negara ini yang tidak sesuai digalas tanggungjawabnya selain kerajaan.