Cradle Fund: Tiga serpihan anak panah dijumpai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan Nazrin Hassan pada Selasa, diberitahu bahawa tiga serpihan batang anak panah dijumpai di halaman rumah didiami Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu ketika polis menjalankan siasatan ke rumah berkenaan buat kali kedua, tiga tahun lalu.

Inspektor Nor Harman Ab Hamid yang bertugas di Bahagian Latihan Bukit Aman berkata, beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat kes, Asistan Superintenden Mohd Nizam Daud untuk pergi ke rumah Nazrin di Mutiara Damansara itu selepas mendapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa kemungkinan punca kematian mangsa adalah akibat anak panah.

"Pada 19 September 2018, jam 10 pagi saya mendapat panggilan daripada Mohd Nizam bagi membantu mereka melakukan sekali lagi penyiasatan di rumah sama dan saya telah mengambil satu penapis penghawa dingin dan satu ‘blower’ penghawa dingin di bilik kejadian untuk tujuan analisis kesan kebakaran.

Pada hari yang sama juga, saya menemukan tiga serpihan batang anak panah di halaman rumah serta menjumpai ‘recorder’ (perakam) kamera litar tertutup (CCTV) tanpa wayar di bilik stor,” katanya yang ketika itu bertugas sebagai pegawai forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Nor Harman, 36, memberi keterangan pada perbicaraan kes Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing pada berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Disoal peguam L S Leonard, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh mengapa beliau tidak menemukan apa-apa ketika pergi ke tempat kejadian pada kali pertama (11 Ogos 2018) dan hanya menemukan barang kes ketika kali kedua pergi ke rumah itu, saksi itu menjawab pada kali pertama siasatan dilakukan pegawai penyiasat tidak mengkhususkan apa-apa barang yang perlu dicari sementara ujian pengesanan cap jari tidak menemukan sebarang cap jari di tempat kejadian.

Katanya, namun pada kali kedua, beliau dimaklumkan Mohd Nizam bahawa hasil forensik menemui kesan anak panah pada si mati.

“Pada 11 Ogos 2018 saya tidak pasti apa barang kes yang perlu saya cari manakala pada 19 September 2018 saya sudah ada target (matlamat) untuk mencari serpihan anak panah setelah diberi maklumat oleh pegawai penyiasat,” kata saksi pendakwaan ke-38 itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Nor Harman berkata pada 11 Ogos 2018, Mohd Nizam telah menghubunginya dan meminta untuk melakukan siasatan kes pembunuhan di rumah berkenaan dan apabila beliau bersama pasukannya pergi ke lokasi kejadian pada jam 10.50 pagi untuk melakukan pemeriksaan, mereka tidak menemukan barang kes.

Sementara itu, seorang lagi peguam pihak pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut mempersoalkan tempoh masa yang panjang di antara tarikh pegawai forensik mengambil sampel bahan bukti di tempat kejadian dengan tarikh kejadian itu berlaku selepas Nor Harman memberitahu beliau telah pergi ke rumah si mati selepas dua bulan dari tarikh kejadian (14 Jun 2018) iaitu pada 11 Ogos 2018.

“Adakah dalam tempoh masa itu, apa-apa sahaja boleh berlaku di lantai, dinding dan di lain-lain tempat di lokasi kejadian dan pencemaran (bukti) boleh berlaku seperti calitan darah oleh sesiapa sahaja,” soal Muhammad Shafee.

Nor Harman bagaimanapun bersetuju dengan peguam itu dan mengakui apa-apa perkara boleh berlaku kerana rumah berkenaan tidak lagi dikawal malah telah dibersihkan selepas kematian Nazrin.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung esok. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh CEO Cradle Fund: Dua telefon bimbit dalam keadaan baik

Terdapat kesan seakan jelaga pada plastik putih dirampas polis