Tunjuk surat KKM sebelum sertai MHL

Subahan Kamal - Foto Bernama
Subahan Kamal - Foto Bernama
A
A
A

TIGA pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) diarah menunjukkan surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan mereka bebas dari jangkitan Covid-19 jika ingin beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemain berkenaan yang kini menjalani kuarantin, harus menunjukkan surat berkenaan kepada pihaknya semasa sesi pendaftaran pemain pada 10 Mac ini, sehari sebelum liga bermula.

“Mereka perlu menjalani ujian calitan sekali lagi di sini (ketika memasuki gelembung) bagi mengesahkan mereka benar-benar bebas Covid-19.

“Jika mereka gagal berbuat demikian termasuk menunjukkan surat dari KKM, mereka tidak dibenarkan bermain dalam liga,” katanya pada sidang media menjelang penganjuran MHL 2021 pada Selasa.

Subahan berkata, peraturan sama turut terpakai bagi pemain lain sekiranya mereka dijangkiti wabak berkenaan.

Sebelum ini, tiga pemain THT terdiri daripada penyerang sensasinya, Faizal Saari, Abd Khalid Hamirin (penyerang) dan Shello Silverius (pemain tengah) disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Subahan turut mengumumkan Hotel Pullman Kuala Lumpur di Bangsar dipilih selaku lokasi penginapan rasmi bagi gelembung penganjuran MHL dengan mengambil kira kedudukan lokasi yang strategik, harga ditawarkan serta fasiliti dimiliki dalam membantu pasukan membuat persiapan menghadapi saingan MHL.

Beliau turut memberi jaminan bahawa KHM akan memastikan soal keselamatan dan keselesaaan semua yang terlibat dalam gelembung ini dititikberatkan seterusnya memastikan tiada kluster baharu wujud daripada kejohanan ini.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan tegas akan diambil dan KHM tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan dalam gelembung ini,” katanya.

Penganjuran kejohanan liga kali ini bermula dari 11 Mac hingga 3 April depan, menjadi saingan yang unik kerana buat pertama kalinya ia akan berlangsung secara gelembung atau berpusat susulan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Kategori lelaki disertai oleh juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah.

Kategori wanita pula dibarisi oleh PKS UniTen, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies. - Bernama