X

Kindly register in order to view this article
!

Arif kembang karier di Itali

Arif bakal beraksi bersama kelab Itali, Butterfly Roma.
A
A

BEKAS pelatih skuad hoki kebangsaan, Arif Sabron terpilih bagi menyertai kelab Butterfly Roma, Itali untuk beraksi di liga utama A1 di negara itu.

Menurutnya, dia yang sememangnya mengimpikan untuk beraksi di bumi Eropah berazam akan menggunakan peluang selama tiga bulan itu untuk menimba pengalaman.

“Perubahan cuaca, bahasa dan rutin makanan bukan penghalang untuk saya untuk beraksi lebih baik bersama pemain-pemain antarabangsa.

“Saya bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi segala cabaran kerana saya ke sana dengan membawa nama negara,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed dan pemilik Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

Anak kelahiran Sungkai itu memperoleh peluang keemasan selepas diperkenalkan oleh Megat D Shahriman dan jurulatih Hockademy, S Selvaraju yang sebelum ini sudah lama beraksi di luar negara termasuk Itali.

Pemain berusia 22 tahun itu akan berlepas ke Itali pada 15 Mac dan beraksi bersama Butterfly Roma sehingga 15 Jun.

Butterfly Roma kini menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan dalam Serie A Divisyen B dan kelab itu pernah mendapat khidmat dua pemain wanita negara, Nuraini Rashid san Fatin Shafikah Mahd Sukri.

Arif menerima bantuan daripada kerajaan Perak yang diserahkan oleh Khairul Shahril (kiri) di Ipoh pada Selasa.
Arif menerima bantuan daripada kerajaan Perak yang diserahkan oleh Khairul Shahril (kiri) di Ipoh pada Selasa.

Sementara itu, Megat D Shahriman berkata, Arif dipilih daripada beberapa nama lain kerana kesungguhan dan minatnya dalam sukan itu.

“Dalam tempoh tiga bulan itu, Arif akan berada di beberapa negara itu untuk bermain dalam liga berkenaan.

“Selepas itu, kita akan lihat prestasi permainannya bersama Butterfly Roma. Jika baik, kita mencadangkan kepada Arif untuk beraksi di Jerman pula,” katanya.

Khairul Shahril berkata, kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak menyalurkan bantuan tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur - Rom selain wang tunai RM2,000.

“Diharapkan selepas ini akan ada lagi peluang kepada atlet negeri untuk bermain di liga negara Itali termasuk sukan angkat berat, menembak dan olahraga.

“Dengan adanya inisiatif untuk pendedahan kejohanan seperti ini akan meningkatkan lagi prestasi dan mutu sukan negeri mahupun negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!