'Hanya tinggal separuh hati di dunia'

Wan Mohd Hafizam menyiram pusara Mohd Afiq sebaik selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah Tikam Batu, Kedah.
Wan Mohd Hafizam menyiram pusara Mohd Afiq sebaik selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah Tikam Batu, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI- "Melihat jasad Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini terbujur kaku, seolah-olah melihat jenazah saya yang terbaring."

Demikian luahan penderma hati pertama negara, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, yang mengakui terkesan dengan 'pemergian' penerima hati, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini yang meninggal dunia kira-kira 5.30 pagi pada Selasa.

Ini kerana, katanya, hanya separuh hatinya di dunia manakala separuh lagi telah dibawa Mohd Afiq.

Menurut Mohd Hafizam, perkongsian hati antara kedua-duanya sejak 23 tahun lalu membuatkan mereka akrab, malah mengharapkan agar Mohd Afiq dapat meneruskan kehidupan memandangkan usianya masih muda.

"Bila saya lihat jenazah dia, saya jadi lemah, selalunya saya akan turut serta mandikan jenazah tetapi kali ini, kaki saya tidak dapat bergerak, seolah-olah kaku melihat Mohd Afiq.

"Bagaimanapun, saya menerima ketentuan Ilahi kerana Mohd Afiq seorang yang baik dan saya percaya dia pergi membawa hati saya yang baik," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah Tikam Batu.

Beliau berkata, perasaannya tidak tenang dalam tempoh seminggu dua ini apabila memikirkan kesihatan Mohd Afiq sehingga pernah menjerit dalam tidur dan mengalirkan air mata tanpa disedari.

“Kali terakhir berjumpa Mohd Afiq semalam (Isnin), saya iring wakil Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam untuk berjumpa Mohd Afiq.

Artikel Berkaitan:

“Semalam saya tidur lena, tenang dan tak ada gangguan, tetapi bangun pagi ini dapat panggilan tentang berita ini,” jelasnya.

Wan Mohd Hafizam turut mengiringi jenazah dari Hospital Selayang dan membantu menguruskan pengebumian Allahyarham di Tikam Batu, Kedah.

Pengebumian selesai kira-kira jam 6 petang Selasa yang dihadiri lebih kurang 50 orang rakan dan saudara terdekat.

Mohd Afiq Ikmal menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Selayang pada pagi Selasa, selepas 18 hari menerima rawatan akibat komplikasi hati.

Jenazah kemudiannya dibawa pulang sebaik selesai urusan kira-kira jam 9.30 pagi dan tiba lebih kurang jam 3.15 petang di rumah neneknya di Tikam Batu, Kedah.

Pada 1999, Wan Mohd Hafizam mencatat sejarah negara apabila menjadi individu pertama mendermakan hati kepada Mohd Afiq Ikmal yang ketika itu berusia 14 bulan dan mengalami masalah hati bengkak.

Mohd Hafizam yang tidak mempunyai pertalian darah bersetuju mendermakan sebahagian hatinya atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun, pada 13 Februari lalu Mohd Afiq Ikmal dimasukkan ke hospital sekali lagi dan keadaannya dilaporkan semakin kritikal serta tidak sedarkan diri sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pagi Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerima hati pertama meninggal dunia