AS ambil ‘langkah selamat’ kes Jamal Khashoggi

Pentadbiran Biden (kiri) dikritik kerana gagal bertindak tegas terhadap MBS (kanan). - Foto: AFP
Pentadbiran Biden (kiri) dikritik kerana gagal bertindak tegas terhadap MBS (kanan). - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menamakan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS) sebagai individu yang mengarahkan pembunuhan ke atas wartawan terkenal, Jamal Khashoggi, namun gagal mengambil sebarang tindakan tegas termasuk mengenakan sekatan dikritik banyak pihak.

Beberapa pihak melihat ia sebagai ‘langkah selamat’ demi untuk memelihara hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara tersebut.

Washington bagaimanapun cuba mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan kononnya mereka akan mengawasi ‘tingkah laku’ Riyadh pada masa depan selepas pentadbiran Presiden Joe Biden mendedahkan laporan risikan pada Jumaat lalu yang mengaitkan MBS dengan kejadian menggemparkan di Konsulat Saudi di Istanbul pada tahun 2018.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price pada Isnin berkata, Washington telah menggesa Riyadh membubarkan Pasukan Intervensi Cepat (RIF) yang ditubuhkan untuk ‘mempertahankan’ MBS memandangkan tujuh daripada 15 individu yang terlibat dalam insiden pembunuhan kejam itu adalah anggota unit elit terbabit.

“Kami menggesa Saudi mengambil langkah tambahan dan menyelesaikan kes membabitkan aktivis hak asasi wanita dan lain-lain. AS juga mahu Riyadh melakukan pembaharuan yang sistemik,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki menyatakan Washington masih perlu meneruskan kerjasama dengan Saudi.

“Kami akan memastikan mereka bertanggungjawab dan tidak akan berdiam diri. Dalam masa yang sama, kami masih perlu bekerjasama atas dasar kepentingan dan keselamatan negara ini,” katanya.

Terdahulu, Hatice Cengiz yang merupakan tunang kepada Khashoggi menggesa pentadbiran Biden supaya segera menghukum MBS atas pembunuhan kejam kolumnis The Washington Post itu.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan hanya untuk menuntut bela atas kematian Khashoggi, namun ia dapat mengelakkan pembunuhan kejam serupa pada masa akan datang,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengesahkan mereka telah memfailkan kes jenayah kemanusiaan ke atas MBS di sebuah mahkamah di Jerman.

Aduan tersebut meminta pendakwa raya di bawah bidang kuasa antarabangsa melakukan siasatan terhadap pembunuhan pengkritik lantang MBS tersebut. - Agensi