Tunai janji tatap jenazah bapa

Noriah (kiri) menyampaikan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan pencen penakat kepada Siti Rahayu setelah mendapati suaminya telah mencarum dengan Perkeso sehingga Januari lalu.
Noriah (kiri) menyampaikan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan pencen penakat kepada Siti Rahayu setelah mendapati suaminya telah mencarum dengan Perkeso sehingga Januari lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - “Itu janji saya untuk bawa jenazah papa ke sekolah supaya Haikal dapat melepaskan rindu buat kali terakhir,” kata Siti Rahayu Norji, 36.

Menurutnya, beliau membuat keputusan singgah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini, bagi membolehkan Muhammad Haikal Iskandar, 18, menatap wajah bapanya, Zamri Abd Halim, 42.

Katanya, anaknya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak dapat melawat bapanya sejak dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar pada 18 Februari dan koma selama dua hari sebelum meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Malam itu (Selasa lalu) selepas dikhabar berita duka itu, dia menangis dan meronta-ronta tidak mahu duduki peperiksaan selain mahu mengurus dan menyambut jenazah papa di liang lahad.

“Saya pujuknya untuk fokus peperiksaan dan ketika itu saya berjanji akan bawa jumpa di sekolah. Sebab itu saya tunaikan juga janji itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor di Kampung Tahan di sini pada Selasa.

Rabu lalu, tular video merakamkan detik sedih Muhammad Haikal Iskandar yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu diberi kesempatan menatap wajah jenazah bapanya sebelum menyambung menjawab peperiksaan Sejarah kertas 2 ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tatap jenazah ayah sebelum jawab soalan SPM

Artikel Berkaitan:

Siti Rahayu berkata, dia terharu apabila guru-guru membantu menunaikan permintaan itu selain mengakui anaknya itu berasa sedikit terganggu untuk memberi tumpuan pada peperiksaan.

“Balik daripada sekolah dia diam dan termenung di dapur kerana mereka dua amat rapat malah berkebun pun bersama-sama.

“Haikal ada menyatakan hasrat untuk bekerja, saya tidak menghalang pun malah saya doakan yang terbaik untuk dia,” katanya.

Siti Rahayu menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan pencen penakat daripada Perkeso serta sumbangan keperluan asas.

Pengurus Perkeso Daerah Kuala Kangsar, Noriah Abd Karim berkata, Allahyarham yang bekerja sebagai tukang kebun merupakan pencarum Perkeso membolehkan balu dan warisnya menerima manfaat yang disediakan.

“Kita mendapat berita menerusi media sosial dan hasil semakan mendapati arwah ada mencarum sehingga Januari lalu.

“Jadi, kita mengambil tindakan segera dan semua bayaran telah dikreditkan ke dalam bank akaun,” katanya.

Sementara itu, Zainun berkata, pihaknya akan membantu permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menyediakan bantuan lain berikutan ibu tunggal itu hilang upaya selepas patah tangan kanan akibat terjatuh, dua tahun lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dugaan berat ditanggung seorang calon SPM apabila diberi kesempatan untuk menatap wajah terakhir jenazah bapanya sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Video pelajar lelaki, Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18, yang sebak ketika van jenazah membawa jenazah bapanya singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini, tular di media sosial sehingga mengundang simpati warganet.