Bergaduh di restoran kerana jumpa lalat di nasi lemak

Polis menahan tiga individu susulan insiden kekecohan di sebuah restoran di Jalan SS15/4, Subang Jaya pada Isnin.
Polis menahan tiga individu susulan insiden kekecohan di sebuah restoran di Jalan SS15/4, Subang Jaya pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis susulan kekecohan yang berlaku di sebuah restoran di Jalan SS 15/4 di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang selepas pelanggan di restoran berkenaan dikatakan menemui lalat di dalam nasi lemak yang dihidangkan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pengurus restoran terbabit, terdapat tiga wanita dan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.

"Mereka kemudian telah mengeluarkan telefon bimbit dengan tujuan untuk membuat rakaman.

"Pengurus wanita itu kemudian menegur agar tidak membuat rakaman namun tidak diendahkan dan pelanggan terbabit telah mengugut akan menularkan perkara tersebut sebelum pipi kiri pengurus itu ditampar.

"Kejadian itu mengakibatkan berlaku pertengkaran serta tolak-menolak di antara pekerja restoran dan pelanggan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan laporan polis yang diterima, kira-kira jam 3 petang Selasa, pihaknya telah menahan dua lelaki warga India berusia 25 dan 35 tahun yang merupakan pekerja restoran terbabit selain seorang wanita tempatan berusia lingkungan awal 50-an bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan lanjut masih dilakukan dan seorang lelaki yang bertindak menampar pengurus restoran tersebut masih dicari.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata," katanya.

Pada Isnin, tular dua video berdurasi tiga dan enam saat memaparkan kejadian kekecohan di sebuah restoran melibatkan pelanggan serta pekerja restoran terbabit.