Perak benarkan majlis nikah di dewan mulai Jumaat ini

Mohd Yusop
Mohd Yusop
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan majlis akad nikah diadakan di premis yang disewa seperti hotel dan dewan komuniti berkuat kuasa Jumaat ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebenaran itu diberikan dengan kehadiran jemputan 50 peratus daripada kapasiti sebenar premis atau tidak melebihi 250 orang.

Menurutnya, ketetapan baharu itu dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu.

"Majlis akad nikah diberi pilihan keutamaan untuk dilaksanakan di premis-premis ini dengan mengamalkan norma baharu seperti amalan kerap membasuh tangan, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

"Bagi majlis akad nikah di surau, masjid dan pejabat agama daerah, ia masih boleh dilaksanakan dengan kebenaran pengerusi dan pegawai agama masing-masing," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata, tatacara baharu pelaksanaan majlis akad nikah itu bermula pada 5 Mac ini sehingga satu arahan baharu dikeluarkan.

Sepanjang tempoh itu, katanya, sesuatu majlis boleh ditangguhkan atau dibatalkan oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk (PPNCR) sekiranya tatacara terbabit tidak dipatuhi.

"Pihak pengantin bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap pelanggaran mana-mana peraturan yang telah dikuatkuasakan," katanya.

Artikel Berkaitan: