Perdagangan sempadan Malaysia-Thailand susut 9.1 peratus

Perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand susut 9.1 peratus kepada 249 bilion baht tahun lepas apabila penutupan sempadan untuk membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan gangguan perdagangan. - Foto 123RF
Perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand susut 9.1 peratus kepada 249 bilion baht tahun lepas apabila penutupan sempadan untuk membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan gangguan perdagangan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand susut 9.1 peratus kepada 249 bilion baht (100 Thai baht = RM13.36) tahun lepas apabila penutupan sempadan untuk membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan gangguan perdagangan.

Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Thailand, Keerati Rushchano berkata, perdagangan rentas sempadan negara itu dengan empat negara jiran iaitu Malaysia, Myanmar, Laos dan Kemboja berjumlah 760 bilion baht, turun 8.01 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata, Malaysia kekal sebagai rakan dagangan rentas sempadan terbesar Thailand diikuti Laos berjumlah 190 bilion baht, jatuh 3.85 peratus, Myanmar sebanyak 165 bilion baht, jatuh 14.7 peratus dan Kemboja sebanyak 156 bilion baht, merosot 3.15 peratus.

“Perdagangan rentas sempadan Thailand dijangka pulih semula dan berkembang antara 3.0 dan 6.0 peratus tahun ini susulan pemberian vaksin Covid-19 serta pemulihan ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Keerati berkata, perdagangan rentas sempadan Thailand termasuk perdagangan transit diunjur menjana antara 1.36-1.40 trilion baht berbanding 1.31 trilion baht pada 2020.

Keseluruhan perdagangan sempadan termasuk perdagangan transit turun 1.7 peratus pada 2020 berikutan penutupan sempadan dan kekukuhan baht pada tahun itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: