DNB akan dilesenkan di bawah AKM 1998: SKMM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB) yang diumumkan untuk melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara akan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

SKMM menerusi satu kenyataan berkata, seperti pemegang lesen lain dalam industri komunikasi dan multimedia, DNB tertakluk kepada kawal selia SKMM walaupun entiti berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

“SKMM akan mengawal selia dan memantau DNB melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah AKM 1998 bagi memastikan penggunaan spektrum secara optimum.

“Ia juga supaya syarikat telekomunikasi dapat memperoleh capaian terbuka, saksama serta adil kepada perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk penyediaan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, dengan membebaskan syarikat telekomunikasi sedia ada daripada keperluan melabur untuk membina infrastruktur 5G, usaha dan sumber syarikat itu boleh ditumpukan kepada langkah meningkat dan memperluaskan perkhidmatan 4G serta rangkaian gentian optik di bahawa pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang begitu penting kepada pelaksanaan 5G.

“Ini pada masa yang sama dapat memastikan jurang digital dapat dikurangkan.

“DNB akan berperanan sebagai pihak borong berkecuali (neutral) yang membolehkan syarikat telekomunikasi untuk memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam membangunkan perkhidmatan runcit yang inovatif sebagai tawaran perkhidmatan kepada pengguna, perusahaan dan kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, penawaran perkhidmatan secara borong oleh DNB akan dipantau secara rapi oleh SKMM berpandukan kepada peruntukan di bawah AKM 1998.

Artikel Berkaitan:

“Kepantasan dan penjimatan kos daripada pelaksanaan 5G boleh dipindahkan untuk memanfaatkan pengguna.

“Dalam mengawal selia pihak DNB, SKMM akan kekal fokus dalam usahanya untuk meningkat dan memperluaskan liputan dan kesalinghubungan digital serta merangsang pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara menerusi peluang yang dipacu oleh 5G,” kata kenyataan itu.