Sindiket syabu: Polis buru tiga lelaki Acheh

Dari kiri: Zulfikar, Hafis Farezza dan Razali
Dari kiri: Zulfikar, Hafis Farezza dan Razali
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan seorang penyewa kondominium mewah di Juru Sentral bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan syabu sebanyak 623.76 kilogram (kg) bernilai RM22.46 juta dalam serbuan di Juru pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki dari Acheh, Indonesia yang dikenali sebagai Razali itu dipercayai melarikan diri ketika serbuan dilakukan di kediaman tersebut.

Menurutnya, kondominium tersebut dijadikan tempat menyimpan bekalan syabu yang didalangi sindiket antarabangsa.

"Suspek berusia 37 tahun itu dikenali sebagai Razali dengan nombor pasport CA235727. Dia dipercayai melarikan diri ketika polis menyerbu rumah mewah tersebut.

"Suspek antara individu penting untuk kita menjalankan siasatan, sekali gus melengkapkan siasatan kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain Razali, katanya, polis turut memburu dua lagi lelaki Acheh yang dikenali sebagai Hafis Farezza, 21, yang sebelum ini tinggal di Jalan Juru Sentral dan Zulfikar, 32, dengan alamat terakhir di Flat Taman Pelangi, Perai.

"Kedua-dua mereka berjaya melarikan diri ketika dihampiri dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mana pada waktu itu mereka sedang memindahkan bekalan dadah dari lori ke sebuah kereta Honda BRV.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek, diminta menyalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Sity Najwa Mohd Abd Latif di talian 010-2882662 atau Nursyahirah Safri di talian 017-5853559 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Februari lalu, polis membongkar kegiatan pengedaran dadah yang didalangi tiga lelaki warga Indonesia melalui rampasan sebanyak 623.76kg syabu bernilai RM22.46 juta.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas dua anggota URB mengesan aktiviti mencurigakan dilakukan kumpulan lelaki terbabit dalam sebuah lori di Jalan Kebun Nenas, Bukit Mertajam kira-kira jam 2 pagi.

Dua anggota URB menghampiri kumpulan itu, namun dua daripadanya melarikan diri manakala seorang berjaya ditahan sebelum polis menjumpai sebanyak 495 bungkusan dadah dalam lori berkenaan dengan anggaran berat 511.95kg bernilai kira-kira RM18.43 juta.