Getah sumber ekonomi Pagoh

Mohd Azlan menujukkan bekas landasan kereta api yang masih kelihatan.
Mohd Azlan menujukkan bekas landasan kereta api yang masih kelihatan.
A
A
A

PAGOH - Kepesatan industri sawit di Pagoh bukanlah suatu yang asing untuk didengari. Malah, sebaik kaki melangkah ke pekan kecil ini, mata pasti tertumpu dengan lambakan ladang kelapa sawit yang subur di sekelilingnya.

Bagaimanapun, pasti ramai tidak menyangka, sebelum berkembangnya sektor tanaman sawit, Pagoh merupakan antara tunjang utama dalam perusahaan getah dunia.

Membuktikan peristiwa itu, pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat, Mohd Azlan Mohd Sharif berkata, meskipun peninggalan lama berkaitan hasil getah tidak lagi wujud, namun kisah itu dikuatkan dengan kehadiran nama individu terkenal selain, tinggalan stesen kereta api di ladang drone di situ.

“Saya tertanya-tanya bagaimana wujudnya stesen kereta api lama di ladang sawit milik Sime Darby ini.

“Meskipun beberapa struktur tidak lagi lengkap, tapi jelas kelihatan pengangkutan ini pernah menjadi penghubung utama di Pagoh.

“Bermula dari situ, barulah saya sedar akan kewujudan ladang getah dan percaya kemungkinan besar kereta api ini berfungsi sebagai pengangkutan untuk hasil getah masa itu.

“Jadi secara logiknya, jika kereta api diwujudkan dalam ladang, pastinya sumber pertanian itu bukan sekadar kecil-kecilan, tapi amatlah pesat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Mohd Azlan, kajian beliau secara menyeluruh kemudian berjaya membuktikan sektor getah bukan hanya wujud di ladang drone, namun sekitar Pagoh dihujani dengan pokok getah yang menjadi pemangkin ekonomi di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Jika dikaji usia kereta api ini, saya percaya ia telah wujud sekitar 1906 atau 1907 berdasarkan struktur binaannya.

“Justeru saya beranggapan bahawa kepesatan sektor eksport dan import pertanian di Pagoh telah pun bermula begitu lama sebelum pengangkutan ini terhenti kira-kira tahun 1970,” katanya.

Mohd Azlan menunjukkan Jalan Pears di Kampung Panchor berhampiran Mukim Pagoh.
Mohd Azlan menunjukkan Jalan Pears di Kampung Panchor berhampiran Mukim Pagoh.

Selain stesen kereta api lama, Mohd Azlan juga berjaya menjejaki individu penting iaitu watak utama dalam sejarah getah di Pagoh.

“Berhampiran Kampung Panchor ini, saya menemui sebuah lorong kecil dinamakan Lorong Pears. Hasil kajian mendapati, Pears adalah individu penting yang terlibat dengan perusahaan ‘ladang getah drone’ masa itu.

“Saya percaya sebagai mengenang sejarahnya dahulu, nama Pears diabadikan di lorong kecil ini. Bagaimanapun, Pears dilaporkan mati selepas menjadi salah seorang penumpang kapal Titanic yang karam pada 1912,” katanya.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Pagoh, Mohd Ishak Khalil tidak menolak sejarah kewujudan ladang getah di kawasan ini.

Katanya, sebagai penduduk asal, beliau melihat sendiri kemajuan sektor getah di Pagoh bermula kira-kira 1970-an.

“Ladang drone ini dahulunya seluas lebih 1,600 hektar membekalkan sawit dan getah. Bagaimanapun, industri getah di sini tidaklah begitu lama apabila sedikit demi sedikit penduduk beralih kepada sektor tanaman sawit pula sejak 1980.

“Kerancakan perusahaan getah kemudian dilupakan apabila ekonomi sawit menjadi pilihan lantaran dianggap lebih mudah dan menguntungkan.

"Meskipun masih terdapat beberapa ladang getah di mukim pada hari ini, namun sektor tanaman sawit dilihat terus berkembang maju,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Azlan dan Mohd Ishak turut menyimpan harapan agar tapak landasan ini dapat dipelihara oleh pihak berkaitan.

Menurut Mohd Ishak, selaku individu bertanggungjawab di mukim berkenaan, beliau akan berusaha mengusulkan perkara itu di peringkat atasan.

“Bagi mengekalkan tinggalan sejarah ini, saya bercadang agar sejarah industri sawit dan getah serta gerabak kereta api itu dipelihara sebagai pengetahuan generasi akan datang,” katanya.