Ada potensi sambar podium 1-2

Azizulhasni dan Shah Firdaus menjadi sandaran terbaik Malaysia memburu emas sulung pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Azizulhasni dan Shah Firdaus menjadi sandaran terbaik Malaysia memburu emas sulung pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

BUKAN sesuatu yang mustahil untuk Malaysia meraih kejuaraan berganda dalam acara berbasikal trek pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersandarkan situasi semasa ketika ini.

Pengurus skuad berbasikal negara ke Olimpik 2020, Datuk Ashakari Abu Noor menjelaskan, prestasi terkini dua jaguh, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom memungkinkan potensi kejayaan 1-2 menerusi acara keirin atau pecut di Velodrom Izu, Tokyo nanti.

Ashakari yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya kejayaan terbaharu pada Kejohanan Trek Elit Victoria, Australia meyakinkan beliau betapa `apa sahaja boleh berlaku’ pada temasya Olimpik 2020.

“Seperti yang kita ketahui, ramai yang keliru atau mencari-cari penanda aras setiap pelumba layak ke Olimpik 2020. Acara sukan berbasikal tidak terkecuali dalam hal ini. Namun, Azizulhasni telah menunjukkan beberapa petanda dia berjaya mengekalkan rentak kejayaan.

“Ini termasuk kejayaannya muncul juara Kejohanan Trek Kebangsaan Australia. Azizulhasni berjaya kalahkan Matthew Glaetzer yang memang kita kenal sangat kuat dan ternama. Tapi Azizulhasni mampu kalahkan Glaetzer.

“Semalam Shah pula tunjukkan taringnya dengan tewaskan Azizulhasni dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Victoria. Ini membuktikan Shah juga berjaya menunjukkan prestasi secara konsisten.

“Situasi yang berlaku sekarang menimbulkan keyakinan jika semuanya berjalan lancar, Malaysia mampu raih kejuaraan 1-2 dalam acara keirin atau pecut. Apatah lagi kedua-duanya pernah berlumba di Velodrom Izu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pertembungan final acara keirin di Pusat Sukan Antarabangsa Darebin, Melbourne pada Ahad, Shah Firdaus menunjukkan kehebatannya apabila muncul juara mengetepikan Azizulhasni dan pelumba kegemaran tempatan, Ned Pollard.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ashakari memberitahu, Azizulhasni dan Shah Firdaus harus mengekalkan rentak kayuhan masing-masing memandangkan ramai pesaing sudah pasti memerhatikan mereka.

“Sudah semestinya berita Azizulhasni muncul juara Kejohanan Trek Kebangsaan Australia dengan menewaskan Matthew telah membuka mata pesaingnya. Kini keluar pula berita Shah kalahkan Azizulhasni di Victoria.

“Ini pasti membuka mata pesaing lain. Begitupun, saya percaya Azizulhasni dan Shah mempunyai tahap keyakinan mental yang sangat tinggi. Apatah lagi Azizulhasni yang pernah muncul juara dunia pada 2017,” ujarnya.