X

Kindly register in order to view this article
!

Ops Limau berkas 1,513 individu, rampas RM1.2 juta wang tunai

HUZIR
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,513 orang ditahan dengan rampasan wang tunai lebih RM1.2 juta menerusi serbuan Ops Limau 01/2021 bermula 1 hingga 28 Februari lalu di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan itu diambil dalam usaha membanteras kegiatan perjudian.

"Bagi tempoh terbabit, polis telah membuat sebanyak 203 serbuan berbanding 141 serbuan pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 62 serbuan atau 43 peratus.

"Selain itu, seramai 1,513 orang telah ditangkap berbanding 1,000 orang pada tahun 2020 (peningkatan sebanyak 513 orang atau 51.3 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pada tahun lalu juga, wang tunai sebanyak RM562,312 telah dirampas manakala tahun ini lebih RM1.2 juta dirampas.

Jelasnya, fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan dan judi tempat bebas yang tertakluk di dalam jadual pertama serta kedua Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, Huzir berkata, antara kes menarik membabitkan serbuan Ops Limau 01/2021 ialah judi 'Pai Kaw' di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada 13 Februari dengan tangkapan seramai 16 lelaki tempatan dan tiga lelaki warganegara China serta merampas wang tunai berjumlah RM276,950.

“Kes lain membabitkan dua serbuan pada 21 Februari iaitu judi 'Pai Kaw' dan judi sisik dijalankan di Endau, Mersing, Johor berjaya menangkap seramai 24 lelaki serta enam warga tempatan dan merampas wang tunai berjumlah RM98,599," katanya.

Tambahnya, secara keseluruhannya, Ops limau 01/2021 menunjukkan kejayaan dalam usaha membanteras aktiviti perjudian sempena Tahun Baharu Cina dengan mencatatkan peningkatan bilangan serbuan dan rampasan wang tunai.

Justeru, beliau berharap kerjasama orang ramai dalam membantu polis menangani masalah perjudian dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah dihargai.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!