X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Tawau cekup 17 kaki sabung ayam

A
A

TAWAU - Akibat leka berjudi sabung ayam, 17 orang 'kaki' kegiatan itu yang terdiri daripada warga Indonesia dicekup polis di ladang kelapa sawit di Kampung Bergosong, Pulau Sebatik dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dua wanita serta 15 lelaki berumur antara 21 hingga 84 tahun itu ditahan pada jam 4 petang.

"Kesemua tangkapan ini merupakan warga Indonesia yang masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam serbuan berkenaan, katanya, polis merampas 19 ekor ayam sabung hidup termasuk 39 bilah pisau taji ayam, wang tunai Rupiah 25.05 juta serta RM250.

Sementara itu, beliau berkata, pada Ahad lepas, tujuh lelaki serta tujuh wanita turut ditahan kerana kegiatan sabung ayam di ladang kelapa sawit di KM60 Jalan Tawau-Kunak dekat sini.

"Tangkapan terdiri daripada seorang warga tempatan dan 13 warga Indonesia berumur antara 18 hingga 65 ditahan pada jam 2.30 petang ketika leka berjudi," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas empat ekor ayam sabung serta lapan bilah pisau taji ayam, selain mendapati enam daripada 13 warga asing berkenaan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kedua-dua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!