X

Kindly register in order to view this article
!

TNB jalin kerjasama teroka pasaran tenaga boleh baharu

BAHARIN DIN
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn Bhd menjalin kerjasama bersama Sunseap Group yang berpusat di Singapura bagi meneroka pasaran tenaga boleh baharu dan perjanjian pembelian tenaga (PPA) korporat di Singapura.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, kerjasama itu adalah pencapaian penting bagi TNB dalam usaha meluaskan jejak mereka dalam bidang tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa, termasuk Asia Tenggara.

Menurutnya, inisiatif itu dijangka memacu pertumbuhan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini untuk tahun-tahun akan datang.

“Ini adalah usaha pertama TNB meneroka pasaran tenaga boleh baharu di Singapura dan kumpulan ini akan berada pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan segmen PPA korporat yang sedang berkembang pesat.

“Kerjasama ini juga adalah tepat pada masanya, sejajar dengan jangkaan pelancaran tender oleh pihak berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) bagi percubaan penyaluran bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka dilancarkan menjelang Mac 2021,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Baharin menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting bagi mencapai matlamat dalam meluaskan portfolio keseluruhan tenaga boleh baharunya kepada 8,300 megawatt menjelang 2025 (termasuk hidro besar).

Jelasnya, ia selari dengan strategi ‘Reimagining TNB’ untuk memacu perkembangan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di bawah teras strategik Sumber Penjanaan Masa Depan.

“Berikutan kejayaan pelaburan kami dalam perniagaan tenaga boleh baharu di United Kingdom (UK) menerusi Vortex Solar dan Tenaga Wind Ventures, kerjasama bersama Sunseap Group adalah langkah penting bagi meneruskan strategi peluasan penjanaan tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini menyediakan platform yang kukuh dengan keupayaan, kapasiti serta jaringan di rantau ini bagi memacu perkembangan perniagaan tenaga boleh baharu dan utiliti kami di Asia Tenggara,” ujarnya.

Terkini, portfolio keseluruhan tenaga boleh baharu TNB adalah 2,732.3 megawatt di Malaysia (termasuk 2,536.1 megawatt daripada hidro besar) dan 666 megawatt di UK, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!