Status PKP di Selangor, KL, P.Pinang, Johor bertukar PKPB mulai 5 Mac

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang sebelum ini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kini ditukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 5 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pula masih kekal sebagai negeri PKPB.

"Enam negeri PKPB iaitu Pahang, Melaka, Terengganu, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan ditukar status kepada negeri PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

"Pelaksanaan PKPB dan PKPP di negeri-negeri tersebut bermula 5 Mac sehingga 18 Mac ini kecuali negeri Sarawak iaitu pada 2 Mac sehingga 15 Mac nanti,"katanya pada Sidang Media Harian PKP 2.0 pada Selasa.

Dalam pada itu beliau berkata, seperti yang dilaksanakan sewaktu PKPB 1.0, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah dianggap satu zon.

Menurutnya, pergerakan rentas antara Selangor (PKPB) ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PKPB) adalah dibenarkan, namun pergerakan dari Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Putrajaya masih tidak dibenarkan kerana Wilayah Persekutuan Putrajaya berstatus PKPP.

"Ini bagi melindungi Wilayah Persekutuan Putrajaya daripada penularan Covid-19.

"Pergerakan dari Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Putrajaya masih memerlukan kebenaran polis kecuali bagi mereka yang bekerja dan mempunyai surat majikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Townvilla dan blok Flat Sibujaya, Sibu, Sarawak pada 4 Mac ini seperti yang dijadualkan.

"KKM mengesahkan kes di Perumahan Townvilla dan sebahagian besar blok Flat Sibujaya menunjukkan trend penurunan.

"Bagaimanapun penamatan PKPD itu tidak melibatkan kawasan blok C, H, J, K, L, N dan R yang dilanjutkan bermula 5 Mac sehingga 11 Mac ini," katanya.