X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket Addy Kanna: Polis harap SPRM kongsi maklumat

Abdul Hamid menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: PDRM
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berkongsi setiap maklumat berkenaan sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian dalam talian membabitkan Addy Kanna.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia penting bagi pihaknya mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

"Kes ini agak rumit dan ia datang dari SPRM... ditangkap dan diambil tindakan oleh SPRM sebelum diserah kepada polis.

"Jadi saya (polis) adalah autoriti nombor dua yang menyiasat perkara itu dan saya harap SPRM dapat berkongsi segala yang mereka ada untuk pihaknya membuat keputusan tepat dan adil," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung isu 31 pegawai dan anggota polis yang dikenal pasti terlibat dalam sindiket bakal berdepan hukuman berat termasuk dibuang kerja.

Jelasnya, tindakan itu terpulang kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan bersidang.

"Keputusan sama ada dibuang kerja, turun pangkat atau lain-lain yang difikir adil dan setimpal oleh SPP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech fasa pertama di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner disiasat bagi kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna.

Semua individu itu disiasat secara menyeluruh terutama berhubung pemilikan nilai aset luar biasa berbanding jawatan dan gaji.

Siasatan itu turut melibatkan seorang pegawai berpangkat inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan berjumlah RM1 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!