Pembakaran terbuka punca jerebu tempatan

MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.
MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jerebu yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini merupakan 'jerebu tempatan' yang antaranya berpunca daripada pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, hujan yang kurang dan aktiviti pembakaran terbuka menyumbang kepada indeks pencemaran udara yang tidak sihat seterusnya menyebabkan jerebu.

"Memang ada kena-mengena (cuaca panas), kita tidak banyak menanam (tumbuhan), sebaliknya banyak aktiviti pembakaran terbuka untuk membersihkan kebun dan sebagainya, maka ia menyebabkan jerebu tempatan," katanya di sini pada Selasa, sambil menafikan ia berpunca daripada pencemaran dari negara jiran.

Beliau berkata, menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat juga kebakaran di kawasan hutan simpan pada ketika ini.

Justeru, katanya, MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.

Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.

Dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung.

Bagaimanapun, MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi tadi, tiga kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang paling tinggi iaitu 183 diikuti Banting (165) dan Petaling Jaya (141). - Bernama