Majikan gagal sediakan tempat tinggal kondusif

Sulkifli (kiri) memeriksa tempat tinggal pekerja asing di sebuah tapak pembinaan di Tunjong pada Selasa.
Sulkifli (kiri) memeriksa tempat tinggal pekerja asing di sebuah tapak pembinaan di Tunjong pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak menyediakan tempat tinggal yang kondusif dengan membiarkan pekerja tidur di atas papan lapis hanya beralaskan tikar getah serta kain tanpa katil menjadi antara kesalahan yang dilakukan majikan terhadap pekerja warga asing di tapak pembinaan di Kelantan.

Kesalahan itu dikesan dalam Operasi Bersepadu yang dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di lokasi pembinaan di sekitar jajahan ini pada Selasa bagi memantau pematuhan terhadap Akta 446 seperti ditetapkan kerajaan.

Selain tidak selesa, tinjaun media bersama beberapa agensi lain turut mendapati kawasan tempat tinggal pekerja warga asing di kawasan pembinaan terbabit berbau busuk dan tidak terurus.

Pengarah JTK Kelantan, Sulkifli Silang berkata, berdasarkan pemerhatian sepanjang operasi dijalankan, pekerja juga didapati melakukan aktiviti memasak di dalam kabin mahupun rumah kongsi di tapak pembinaan terbabit berdasarkan kelengkapan peralatan yang terdapat di kawasan tempat tinggal mereka.

"Apabila pasukan membuat pemeriksaan di rumah penginapan pekerja, kita lihat ada beberapa pelanggaran akta berlaku di sini selain keadaan yang tidak sesuai untuk dihuni.

"Kita dapati tempat tinggal mereka tidak disediakan tilam, katil dan almari sementara tempat tidur pula beralaskan selimut sahaja selain tiada ruang khas untuk pekerja pembinaan makan.

"Ada sesetengahnya makan di dalam bilik, keadaan ini memang tidak sesuai dan memang tidak kondusif," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di Tunjong pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sulkifli berkata, sejak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dikuatkuasakan pada 1 September tahun lalu, JTK Kelantan telah menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 200 lokasi pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, daripada 456 majikan yang menggaji pekerja asing di Kelantan, hanya 40 yang membuat permohonan dengan JTK bagi penyediaan tempat tinggal untuk pekerja mereka.

Dalam pada itu, Sulkifli mengingatkan semua majikan yang menggaji pekerja asing dan menyediakan tempat tinggal supaya membuat permohonan dengan JTK terlebih dahulu.