Pesara bantu rancakkan pertanian negara

Pengerusi PPKM Cawangan Tumpat, Profesor Wan Fauzi Wan Mamat (duduk di tengah) bersama barisan ahli jawatankuasa persatuan ketika Mesyuarat Agung PPKM Cawangan Tumpat di Pasir Pekan, Tumpat pada Sabtu.
Pengerusi PPKM Cawangan Tumpat, Profesor Wan Fauzi Wan Mamat (duduk di tengah) bersama barisan ahli jawatankuasa persatuan ketika Mesyuarat Agung PPKM Cawangan Tumpat di Pasir Pekan, Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Golongan pesara menerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) disaran mewujudkan program penglibatan secara mengoptimumkan kepenggunaan kepakaran dan pengalaman bagi membantu merancakkan pertanian dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kepakaran dan pengalaman yang ada pada setiap pesara dalam pentadbiran suatu ketika dulu harus digunakan untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

“Pesara boleh bertindak sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat dalam pelbagai bidang, antaranya ialah pertanian.

“Mereka adalah tempat masyarakat mendapatkan khidmat nasihat merangkumi contoh cara memohon pembiayaan, maklumat berkait jabatan atau agensi kerajaan dan sebagainya,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung PPKM Cawangan Tumpat keenam di Dewan Masjid An-Nur, Pasir Pekan di sini pada Sabtu.

Che Abdullah berkata, perkongsian pengalaman turut mencegah stres apabila masa luang secara berfaedah di samping menambah kenalan dan mengeratkan silaturahim.

“Selain bertukar-tukar idea untuk menyelesaikan masalah, pesara dapat meneruskan cara hidup berdisiplin seperti amalan sewaktu bekerja dahulu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPKM Cawangan Tumpat, Profesor Wan Fauzi Wan Mamat berkata, pihaknya menyambut baik saranan berkenaan dan berbesar hati untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman sedia ada.

“Setakat ini, ada 250 ahli persatuan di Tumpat yang aktif menjalankan aktiviti kebajikan termasuk menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan ketika Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pesara adalah kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Oleh itu, kita sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengadakan program persatuan,” katanya.