PKR Johor mesyuarat 7 Mac ini

 Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor akan bermesyuarat pada 7 Mac ini untuk menangani situasi politik semasa dan kedudukannya di negeri ini selepas Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mengambil keputusan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kedudukan PKR Johor yang kelihatan semakin lemah ketika ini adalah satu keadaan bersifat defensif namun mempunyai barisan kepimpinan yang kuat.

"Mujurlah PKR Johor berada dalam keadaan yang bersatu. Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menyedari hal ini. Beliau mempunyai pasukan yang kuat untuk mengubah keadaan yang defensif ini kepada ofensif.

"Mesyuarat yang akan berlangsung itu perlu merangka strategi untuk mengambil semula bukan sahaja kerusi Parlimen Tebrau tetapi kerusi Parlimen Batu Pahat dan Parlimen Segamat yang sudah jatuh kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Dalam kekosongan kepimpinan PKR di Parlimen Tebrau akibat tindakan Steven Choong meninggalkan parti, kepimpinan PKR Johor dan Pusat boleh menarik nafas lega. Patah tumbuh, hilang berganti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang juga daripada PKR pada Ahad menyatakan sokongan kepada kerajaan PN dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penyerahan SD tersebut dimuat naik Muhyiddin menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasmi beliau pada hari yang sama.

Keputusan Steven Choong itu mengejutkan ramai pihak terutama selepas sehari isu tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dilaporkan menyertai PKR.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hassan mencadangkan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu menjadi calon di Parlimen Tebrau berdasarkan sumbangan dan kredibilitinya.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, ini kerana Jimmy Puah merupakan calon pertama PKR yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selain pernah menjadi Exco kerajaan negeri yang cemerlang.

Bagi kerusi Parlimen Batu Pahat, beliau melihat Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Zaleha Mustafa yang juga bekas Pengerusi PKR Johor layak untuk bertanding di kawasan tersebut pada PRU15.

Sementara di Segamat pula, beliau perpandangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R Yuneswaran sesuai untuk bertanding di daerah berkenaan berdasarkan rekod dan latar belakang bekas Setiausaha Kerja PKR Johor itu.