Dua beradik warga Syria mengaku tidak bersalah beri rasuah

Ali (kiri) dan Alaa (tengah) menunggu di luar Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa sementara menanti giliran mereka dibicarakan.
Ali (kiri) dan Alaa (tengah) menunggu di luar Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa sementara menanti giliran mereka dibicarakan.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua beradik warga Syria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan memberi rasuah bernilai RM10,000 kepada seorang penolong penguasa Imigresen di Langkawi tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Ali Esmail Hamed, 38, dan adiknya Alaa Esmail, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Murtazadi Amran setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Inggeris.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama pada 22 Januari 2020 memberi suapan sebanyak RM10,000 kepada Mohd Hazwan Othman, 31, yang bertugas sebagai penolong penguasa Imigresen sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima orang pekerja restoran yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 12.50 pagi bertempat di Restoran Yasmeen Express Pantai Chenang, Langkawi yang mana membolehkan mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Kuldeep Singh Gill.

Dalam proses penghakiman, mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Mereka yang masing -masing merupakan pemilik dan pengurus restoran itu juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Namun, mahkamah membenarkan penyerahan pasport Ali yang telah berkahwin dengan wanita tempatan kepada mahkamah ditangguhkan sehingga 18 Mac depan bagi tujuan menyelesaikan urusan permohonan sponsor visanya di Jabatan Imigresen pada 14 Mac.

Mahkamah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.