X

Kindly register in order to view this article
!

Teluk Cempedak bakal jadi zon larangan merokok

Pantai peranginan Teluk Cempedak di Kuantan akan menjadi kawasan zon larangan merokok dalam tempoh enam bulan lagi.
A
A

KUANTAN - Pusat Peranginan Teluk Cempedak di sini akan menjadi kawasan bebas asap rokok yang dikenali sebagai ‘ Zon Sihat Bandaraya Kuantan’ dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan, Norkamawati Kamal berkata, langkah itu dilakukan sebagai satu usaha untuk melahirkan warga bandaraya yang mengamalkan cara hidup sihat.

"Penguatkuasaan ini hanya akan dilaksanakan selepas 'Teluk Cempedak - Bebas Asap Rokok (TC BAR)' diwartakan.

"Jadi, dalam tempoh tiga hingga enam bulan ini, kita akan berikan pendedahan kepada orang awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, beberapa elemen akan diberikan penekanan dalam menjayakan agenda tersebut termasuk penganjuran aktiviti kecergasan fizikal secara berkala.

Selain itu, katanya, pihaknya akan memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu menu makanan sihat dijual di setiap premis makanan di situ.

Norkamawati berkata, program berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

"Diharapkan pelaksanaan TC-BAR yang akan dilaksanakan dapat mempromosikan cara hidup sihat dalam kalangan penduduk Kuantan, seterusnya dapat dipupuk sebagai budaya setempat bagi mensejahterakan masyarakat.

"Zon Sihat Bandaraya Kuantan ini akan diperluaskan ke kawasan tumpuan lain pada masa akan datang bagi memastikan impaknya adalah lebih meluas," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!