X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Rakyat perkasa usahawan melalui SMEC

Wan Junaidi semasa sesi lawatan di SMEC Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat terus mengorak langkah menerusi pembukaan Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SMEC) sebagai salah satu inisiatif memperkasakan sektor pembangunan keusahawanan negara.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pembukaan SMEC juga mampu mendorong dalam mencapai sasaran kelulusan pembiayaan sebanyak RM1 bilion kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala RM75 juta untuk usahawan mikro bagi tahun 2021.

Menurutnya, SMEC merupakan pusat sehenti yang menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan holistik kepada usahawan daripada kategori usahawan mikro, PKS serta koperasi.

“SMEC yang beroperasi secara fokus untuk pembangunan usahawan membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat nasihat dari segi pengurusan pembiayaan, perniagaan serta perancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu berurusan di cawangan Bank Rakyat.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) iaitu meningkatkan aset kewangan perniagaan Bank Rakyat menerusi pusat perniagaan khusus yang menawarkan kemudahan kewangan perniagaan untuk golongan usahawan,” kata kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif itu sejajar dengan manifestasi agenda kementerian itu seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

“Ia juga seiring dengan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional atau National Entrepreneurship Framework (NEF), penubuhan SMEC adalah bertepatan dengan saranan kerajaan kepada institusi perbankan agar terus menyokong pemulihan ekonomi dan memelihara kesejahteraan sumber pendapatan rakyat Malaysia,” katanya.

Wan Junaidi berkata, menyedari golongan usahawan antara yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara, penubuhan SMEC juga dilihat sebagai salah satu usaha membantu mereka yang terjejas untuk memulihkan semula perniagaan.

“SMEC juga bakal memberi peluang kepada usahawan mikro untuk memajukan perniagaan mereka dalam industri PKS, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya golongan usahawan B40,” katanya.

Beliau berkata, SMEC yang berkonsepkan pusat fizikal merupakan sebuah pusat yang ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negara sebagai platform penyebaran maklumat kepada usahawan di setiap kawasan.

Sehingga kini, tiga SMEC di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka telah mula beroperasi untuk memperluaskan capaian kepada PKS, Mikro dan Koperasi di sekitar kawasan berkenaan.

Tujuh SMEC bakal dibuka tidak lama lagi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain mengunjungi SMEC secara fizikal, pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat SMEC secara maya dengan hanya mengimbas kod Quick Response to Entrepreneur (QR2E).

QR2E merupakan platform dalam talian yang diperkenalkan khusus untuk segmen usahawan mikro, PKS serta koperasi melakukan urusan perbankan secara digital.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!