X

Kindly register in order to view this article
!

Celcom sasar perluasan liputan 4G

Idham Nawawi
A
A

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menyasarkan untuk meluaskan perkhidmatan liputan 4G LTE kepada 95.6 peratus pengguna perkhidmatan syarikat tersebut tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, sasaran tersebut merupakan fokus utama dalam pelaburan rangkaian Celcom selari dengan keputusan syarikatnya untuk menamatkan perkhidmatan penyediaan rangkaian 3G pada akhir tahun ini.

Menurutnya, sejak Disember tahun lalu, Celcom telah menyediakan tapak stesen rangkaian yang baru, menambah baik dan mengoptimisasi liputan 4G di kawasan pedalaman seluruh negara termasuk Kampung Bukit Pampong, Raub (Pahang), Bukit Petai, Jerangau (Kelantan), Kampung Jemukan, Kampung Bunuk dan Kampung Mambong, Puncak Borneo (Sarawak) serta banyak lagi.

“Usaha berkenaan juga menandakan bahawa inisiatif pelaburan rangkaian Celcom bernilai lebih RM250 juta itu kini sedang berada dalam fasa akhir untuk diselesaikan.

Beliau berkata, program pelaburan rangkaian yang dipacu itu menyasarkan penambahbaikan dan optimisasi lebih 4,700 tapak rangkaian seluruh negara dengan peningkatan kapasiti, pemasangan perkakasan 4G terkini dan program optimisasi rangkaian teras, yang meliputi hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah and Sarawak.

“Sebagai tambahan, Celcom turut menjalankan program optimisasi kluster seluruh negara bagi 3,600 lagi tapak rangkaian untuk menangani isu buffering video, dan menyediakan kualiti panggilan suara dan video yang lebih baik menjelang Ogos 2021,” katanya ketika memberikan taklimat mengenai prestasi perniagaan Celcom bagi dua suku terakhir tahun 2020 pada Isnin.

Idham berkata, antara fokus lain yang ditetapkan syarikatnya dalam pelaburan rangkaian bagi tahun 2021 adalah menyediakan pengalaman video berdefinisi tinggi (HD) yang konsisten, memperbaiki kualiti liputan dalam bangunan, dan pengalaman VoLTE yang lancar.

Tambahnya, sejak mula dilaksanakan, inisiatif pelaburan tersebut didapati berjaya mengurangkan kesesakan rangkaian di samping penyediaan perkhidmatan dan pengalaman capaian internet yang stabil.

Mengulas mengenai penamatan penyediaan 3G oleh Celcom, Idham berkata, syarikatnya sedar akan kepentingan untuk memastikan perkhidmatan rangkaiannya itu dapat dinikmati secara konsisten oleh keseluruhan masyarakat tanpa meninggalkan mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, pelanggan yang terlibat boleh beralih kepada rangkaian 4G kami dengan memiliki telefon pintar 4G yang kami sediakan melalui pakej mampu milik,” jelas beliau.

Menurutnya, setakat ini, terdapat kira-kira 800,000 pengguna perkhidmatan syarikat tersebut yang masih menggunakan rangkaian 3G.

Sementara itu, Idham berkata, syarikat itu komited melaksanakan pelbagai inisiatif digitalisasi membabitkan pemerkasaan perniagaan, runcit dan kediaman pelanggan melalui pelbagai usaha di kesemua peringkat bagi memastikan kesinambungan pertumbuhan.

Jelas beliau, Celcom juga menyokong penuh pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan inisiatif pelaksanaan MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB).

“Pelan tersebut merupakan rangka utama yang komprehensif meliputi pengkomputeran awan (cloudification), pembangunan kandungan, pembangunan ekosistem bagi infrastruktur digital, penyediaan kemudahan Revolusi Indsutri (IR4.0) dan seterusnya meletakkan negara sebagai sebuah ekonomi digital terulung di rantau ini.

“Sebagai operator rangkaian mudah alih yang terbesar di negara ini, rangka tindakan MDEB juga menyediakan peluang baharu kepada Celcom untuk memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dengan teknologi cloud dan digitalisasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Celcom mencatatkan pemulihan keuntungan dan pertumbuhan hasil sebanyak RM42 juta iaitu peningkatan 2.7 peratus dalam dua suku terakhir tahun 2020 dengan pertambahan sebanyak 306,000 pengguna.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!