Pengarah syarikat didakwa tipu peguam RM9 juta

Seorang pengarah syarikat didakwa atas pertuduhan menipu seorang peguam berhubung pelaburan membabitkan kerugian RM9 juta, pada 2014.
Seorang pengarah syarikat didakwa atas pertuduhan menipu seorang peguam berhubung pelaburan membabitkan kerugian RM9 juta, pada 2014.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan menipu seorang peguam wanita melibatkan wang pelaburan sebanyak RM9 juta, tujuh tahun lalu.

KS Sarwan Singh, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Tertuduh didakwa menipu seorang peguam berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa bahawa wang pelaburan RM9 juta yang diserahkan akan digunakan untuk tujuan perniagaan perlombongan, restoran dan projek pembangunan Medina Square.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang itu, di mana beliau tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan olehnya.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah firma guaman di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 31 Mac hingga 2 Jun 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 dan mematuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan 4 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: