Maszlee minta Asyraf Wajdi padam hantaran fitnah, mohon maaf

Maszlee dan Asyraf Wajdi.
Maszlee dan Asyraf Wajdi.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diminta memadam serta-merta hantaran media sosial yang didakwa fitnah ditujukan kepada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 24 Februari lalu.

Perkara itu ditegaskan Maszlee melalui surat tuntutan dihantar pihaknya kepada Asyraf Wajdi yang dikongsi menerusi laman Twitter beliau pada Selasa.

Dalam kenyataan Maszlee di laman sosial itu berkata, sekiranya tuntutan-tuntutan itu tidak dilayan dalam tempoh ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil oleh peguam beliau.

Tuntutan lain dalam surat itu adalah supaya Asyraf Wajdi memastikan bahawa mana-mana profil atau halaman Facebook dan media sosial lain yang menyiarkan hantaran tersebut menarik semula dan memadamnya serta-merta.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyraf pertahan kenyataan, enggan mohon maaf

Maszlee juga menuntut Asyraf Wajdi untuk membayar sejumlah wang yang terlebih dahulu dipersetujui beliau sebagai pampasan kerana hantaran tersebut jelas memfitnah beliau.

Berkenaan permohonan maaf daripada Asyraf Wajdi, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menuntut agar Ketua Pemuda UMNO itu menerbitkan kenyataan bertulis yang dipersetujui bersama di Facebook dan akhbar tempatan.

“Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.

“Sebagai pengajaran bersama, saya percaya rakyat Malaysia amat muak dan benci dengan budaya fitnah jahat berbaur perkauman yang sengaja ditimbulkan dan boleh menggugat hubungan sesama kaum di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Hanya mereka yang pengecut sahaja yang sering menggunakan senjata fitnah dan propaganda murahan untuk meraih sokongan politik,” kata Maszlee.

Maszlee sebelum ini menggesa Asyraf Wajdi menarik balik kenyataan berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah Tingkatan Empat terdapat unsur fakta dimanipulasikan.

Kata Maszlee lagi, sekiranya tiada permohonan maaf atau penarikan kenyataan dibuat Asyraf Wajdi, beliau akan memfailkan kes saman fitnah.

Pada 27 Februari lalu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, beliau tidak memetik nama sesiapa termasuk Maszlee ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan Empat yang didakwa mengandungi fakta dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sinar Harian sedia pertemukan Maszlee, Asyraf'

Kenyataan fitnah: Maszlee hantar surat tuntutan kepada Asyraf Wajdi

Maszlee bidas Asyraf Wajdi isu buku teks Sejarah