Everton berpeluang ke Liga Juara-Juara

Penyerang Everton, Richarlison merembat ke gawang Southampton untuk gol tunggal perlawanan berkenaan.
Penyerang Everton, Richarlison merembat ke gawang Southampton untuk gol tunggal perlawanan berkenaan.
A
A
A

KEMENANGAN 1-0 ke Everton ke atas Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di pada awal pagi Selasa dilihat ‘membuka peluang’ kepada skuad The Toffees untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Menurut pengendali Everton, Carlo Ancelotti, perkara itu dilihat tidak mustahil untuk direalisasikan berdasarkan kepada prestasi semasa skuad kendaliannya itu.

“Memang impian kami untuk berada dalam kedudukan empat pasukan teratas EPL dan kini kami berpeluang untuk merealisasikannya.

“Kami kini memiliki peluang terbaik untuk berada pada kedudukan berkenaan jika berjaya menewaskan West Brom awal pagi Jumaat nanti.

“Namun, perjalanan musim ini masih terlalu jauh dan kami akan teruskan dengan matlamat kami iaitu sekurang-kurangnya untuk beraksi dalam saingan Liga Eropah musim depan,” katanya.

Pada aksi di Stadium St. Mary pada awal pagi Selasa, penyerang Everton, Richarlison sekali lagi membuktikan dirinya sebagai antara penyerang berbisa dalam saingan EPL musim ini apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan seawal minit ke-9 perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Everton berada pada kedudukan ketujuh dengan 43 mata hasil 13 kemenangan, seri empat kali dan tewas lapan kali daripada 25 perlawanan setakat ini.

Mengulas mengenai Richarlison, Ancelotti berkata, penyerang kelahiran Brazil itu dilihat telah mempamerkan aksi yang luar biasa setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aksi berkenaan diharap berterusan bagi menjamin lebih banyak kejayaan kepada pasukan.

“Dia hanya melakukan tugasnya dan bagi saya dia seorang pemain yang memiliki kualiti tersendiri.

“Harapan kita adalah supaya Richarlison akan terus beraksi seperti ini dan seterusnya dapat membantu kejayaan pasukan,” katanya.