Bantuan GKP, BPN kembangkan perniagaan usahawan biskut

Rosnizam (kanan) dan Roazian (kiri) giat menyiapkan kambing dan ayam perap yang diusahakan. - Foto Bernama
Rosnizam (kanan) dan Roazian (kiri) giat menyiapkan kambing dan ayam perap yang diusahakan. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Pasangan suami isteri yang memulakan perniagaan kambing perap ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu menggunakan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) bersyukur dapat melebarkan sayap perniagaan mereka malah memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai pada tahun ini.

Suami isteri, Rosnizam Ishak dan Roazian Md Noor masing-masing berusia 44 tahun, pada mulanya terpaksa menutup kedai makan dan kilang biskut yang diusahakan berikutan PKP malah hampir bankrap selepas gagal meraih pendapatan.

Bagaimanapun, namun mereka dapat menarik nafas lega apabila menerima bantuan GKP RM3,000 dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) RM1,000 tahun lalu.

Rosnizam berkata, dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan, beliau dan isterinya memulakan perniagaan kambing perap dari rumah bagi menjana pendapatan dengan menjual terus kepada pembeli serta ejen-ejen mereka.

"Alhamdulillah, dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan, kami mulakan perniagaan kambing perap pada April tahun lepas. Selepas lebih lapan bulan, kami dapat memulakan semula bisnes biskut yang sebelum ini memang kami dah buat.

"Cuma masa PKP, bisnes biskut dan kedai makan memang jatuh teruk boleh dikatakan hampir bankrap. Banyak hutang ketika itu namun berkat usaha menjalankan perniagaan kambing perap dan menggunakan modal keuntungan daripada situ, kami dapat membuka semula perniagaan biskut dan kedai makan tetapi kali ini menawarkan masakan barat berbanding lauk-pauk," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Rosnizam berkata, sejak memulakan perniagaan kambing perap mereka mampu mendapat jualan bagi kambing perap antara RM30,000 hingga RM50,000 setiap bulan sebelum menyimpan keuntungan bagi menjalankan perniagaan biskut serta kedai makan.

Katanya, bermula Disember lepas, mereka dapat menjalankan semula perniagaan biskut dan kedai makan, namun dengan beberapa penambahbaikan termasuk menjual kambing perap di restoran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu, mereka turut menjual bahan yang siap dicampur untuk perapan kambing, ayam dan daging di kedai makan itu supaya orang ramai boleh membeli untuk membuat perapan sendiri di rumah mereka.

"Yang paling kami bersyukur ialah dapat memberikan peluang pekerjaan kepada orang ramai. Di kilang membuat biskut kami mempunyai 30 pekerja tetap manakala di kedai makan pula enam orang. Selain itu, untuk biskut terdapat lebih 30 ejen dan kambing perap seramai enam ejen.

"Selain dapat menambah pendapatan keluarga saya, kami juga membantu mereka yang terjejas pendapatan ketika PKP dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka. Alhamdulillah, perniagaan biskut nampaknya menunjukkan perkembangan baik terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti, " katanya.

Sementara itu, Roazian berkata, sekarang ini beliau dan suami dapat bernafas semula malah dapat membayar hutang-hutang tertunggak terutama rumah mereka dan beliau berharap dapat melebarkan lagi perniagaan kerana mahu membantu lebih ramai orang yang terjejas ketika PKP ini.

"Alhamdulillah, dengan berkat perniagaan berkongsi rezeki, kami dapat bertahan dan meneruskan bisnes yang sebelum ini hampir bankrap. Terima kasih juga atas bantuan kerajaan bagi GKP dan BPN yang dapat membantu kami memulakan perniagaan kambing perap dan seterusnya mengumpul modal," katanya.

Katanya, perniagaan kambing perap yang mereka jalankan itu adalah antara hikmah PKP yang dirasai bersama suaminya apabila berjaya mencipta satu peluang perniagaan baharu dan seterusnya membantu memberi peluang pekerjaan kepada individu lain. - Bernama