Lima lagi lelaki diberkas merusuh di restoran

Seramai tujuh lelaki telah ditahan polis dalam kejadian merusuh di sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Seramai tujuh lelaki telah ditahan polis dalam kejadian merusuh di sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas lima lagi lelaki dalam tangkapan berasingan di sekitar ibu negara pada Isnin hingga awal pagi Selasa berhubung siasatan kes merusuh di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Suspek pertama berusia 23 tahun ditahan di PPR Permai Raya, Sungai Besi pada jam 11.15 malam tadi dan suspek kedua berusia 22 tahun ditahan di Taman Cempaka, Ampang pada jam 1.21 pagi (Selasa).

“Tangkapan seterusnya dibuat di Rumah Pangsa Sri Selangor, Jalan San Peng dan Jalan Travers di sini, pada jam 1.31 pagi dan 1.37 pagi tadi membabitkan dua suspek berusia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anuar berkata, suspek kelima berusia 19 tahun turut ditahan di Jalan Travers, pada jam 2.26 pagi.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Pada Isnin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan penahanan dua lelaki susulan insiden terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada Ahad itu, sekumpulan 11 hingga 12 individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan di restoran terbabit.

Ini kerana pengurus restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Anuar, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati kumpulan lelaki terbabit yang kemudian merusuh dengan menggunakan kayu dan parang memecahkan botol dan gelas di restoran itu.

Katanya, terdapat 11 hingga 12 pekerja termasuk pengurus di restoran itu ketika kejadian yang mana tiga pekerja mengalami kecederaan di kepala serta kecederaan ringan lain.