Pemuda PH perlu ada ketua hadapi PN dalam PRU15

Razeef Rakimin
Razeef Rakimin
A
A
A

KOTA KINABALU - Selepas setahun Langkah Sheraton berlaku, Pemuda Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat masih belum memilih seorang ketua secara rasmi, kata Setiausaha Pemuda PH Sabah, Razeef Rakimin.

Razeef berkata, ketiadaan ketua itu menyebabkan seolah-oleh Pemuda PH tidak wujud dan hanya ada pergerakan di peringkat negeri.

"Baru-baru ini, ada ura-ura mengenai proses pemilihan Ketua Pemuda PH sedang berlangsung, namun masih tidak ada sebarang pengumuman dibuat berkenaan Jawatankuasa Pimpinan Pemuda PH Harapan yang baharu.

"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung pada bila-bila masa tahun ini, namun Pemuda PH masih tidak ada kepimpinan di peringkat Pusat apatah lagi kesepakatan dalam gerak kerja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Razeef yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa pimpinan setiap sayap pemuda mengadakan perbincangan segera serta menyusun struktur jawatankuasa Pemuda PH yang baharu agar sayap pemuda dapat menyusun gerak kerja menjelang PRU15.

"Di peringkat AMK, kami telah bersedia di kesemua 222 Parlimen kerana Keadilan mempunyai 222 cabang seluruh Malaysia.

"Namun untuk mendepani Perikatan Nasional (PN) kita perlukan satu gabungan seperti dalam PRU14 lalu.

"Maka isu ini perlu diselesaikan segera dan bukan bertelingkah seperti 'gila jawatan', katanya.

Artikel Berkaitan: