Jamal minta maaf fitnah Bee Yin

Datuk Seri Jamal Md Yunos ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Datuk Seri Jamal Md Yunos ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon maaf kepada bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berhubung kes saman fitnah dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Jamal, 51, membuat permohonan maaf itu di pekarangan mahkamah yang mana ia menjadi sebahagian daripada persetujuan untuk penyelesaian tuntutan saman berkenaan.

“Saya memohon maaf kerana memfitnah Bee Yin sebelum ini dan saya mengakui bahawa beliau seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah itu pada pagi Selasa.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Selasa dan Khamis ini sebagai prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Turut hadir pada prosiding pada Selasa ialah peguam Mohammed Nasser Yusof bagi pihak Jamal manakala peguam, Datuk Sankara Nair mewakili bekas menteri itu.

Bagaimanapun, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri, Muar tidak hadir di mahkamah.

Sementara itu, Sankara berkata, fitnah yang dibuat sebelum ini memberi kesan kepada reputasi Bee Yin.

“Secara tidak langsung, permohonan maaf daripada Ketua UMNO itu membersihkan nama baik anak guam saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding pada Selasa, Rozana mengucapkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut secara baik.

“Hari ini kita dah capai penyelesaian, jadi mahkamah telah rekodkan persetujuan,” katanya.

Berdasarkan draf penghakiman persetujuan, Jamal selaku defendan perlu memohon maaf kepada Bee Yin sebagai plaintif di hadapan semua wartawan dan jurugambar di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Selain itu, Jamal selaku defendan dihalang sama ada menerusi dirinya sendiri, ejen atau pekerjanya daripada selanjutnya mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar ucapan yang dikatakan memfitnah.

Jamal juga dihalang mengucap, menulis, menerbit atau menyebar perkataan-perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam pernyataan tuntutan terpinda pada 16 Jun 2017 atau kata-kata yang mempunyai kesan sama berkenaan plaintif (Bee Yin) atau penyataan yang boleh dikira sebagai memfitnah.

Penghakiman persetujuan itu tidak boleh mengikat dan diguna pakai ke atas defendan oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai tindakan saman serupa terhadap Jamal.

Penghakiman persetujuan itu juga tanpa perintah mengenai kos.

Pada 14 Jun 2017, Bee Yin memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan fitnah berkaitan dakwaan menyalah guna dana Yawas.

Menurut pernyataan tuntutannya, Bee Yin mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal antara lain memberi tanggapan yang beliau menyalah gunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu.