X

Kindly register in order to view this article
!

Kesedaran lindungi hidupan liar

A
A
TANGGAL 3 Mac merupakan Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia yang diraikan bagi mengiktiraf peranan dan kepentingan tersendiri setiap hidupan liar kepada manusia dan alam ini.

Hidupan liar mempunyai nilai intrinsik dan menyumbang kepada aspek-aspek ekologi, genetik, sosial, ekonomi, sains, pendidikan, kebudayaan, rekreasi dan estetik pembangunan mampan dan kesejahteraan manusia.

Sambutan ini juga mengingatkan kita akan keperluan untuk meningkatkan usaha bagi memerangi jenayah hidupan liar yang telah memberi kesan besar ke atas ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Ramai tidak sedar, hidupan liar memainkan peranan dalam persekitaran semula jadi.

Fungsi ekologi hidupan liar ditakrif sebagai peranan ekologi spesies seperti menyokong kepelbagaian tumbuhan dengan cara menyebarkan biji benih dan pendebungaan, misalnya oleh kelawar serta burung.

Hidupan liar juga menyokong struktur trofik, iaitu keseimbangan dalam rantaian makanan dan sebagai 'jurutera' alam sekitar. Misalnya aktiviti menggali tanah dan membina busut oleh landak sebagai kawasan kediaman dapat membantu pengudaraan serta aliran air bawah tanah dengan lebih baik.

Malaysia memiliki pelbagai spesies yang tidak dapat ditemui di negara lain. Laporan Kebangsaan Ke-6 Malaysia kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi 2019 melaporkan, negara memiliki 306 spesies mamalia, 742 spesies burung, 242 spesies amfibia, 567 spesies reptilia, lebih 2,000 spesies ikan dan 150,000 spesies invertebrata.

Namun, data Bank Dunia menunjukkan, sekurang-kurangnya satu perlima daripada spesies mamalia di Malaysia menghadapi ancaman kepupusan sementara The World Conservation Union (IUCN) menganggarkan terdapat lebih 16,000 spesies hidupan liar di negara ini yang diancam kepupusan kebanyakannya akibat aktiviti manusia.

Kajian global turut mendapati, Malaysia antara negara yang menghadapi kekurangan dana untuk pemuliharaan biodiversiti.Justeru, tidak mustahil spesies ini terus pupus dan tidak lagi ditemui dalam jangka masa panjang jika tiada sebarang tindakan diambil.

Pupus

Malah, terdapat beberapa spesies hidupan liar yang dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya di hutan simpan kekal mahu pun taman negara seperti banteng, badak Jawa, burung merak hijau dan kucing batu.

Spesies gajah, tapir, harimau Malaya dan beruang matahari pula kini di ambang kepupusan dan sukar ditemui di habitat semula jadi mereka. Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) meramalkan bahawa harimau akan pupus dalam masa 12 tahun lagi sekiranya tiada inisiatif pemuliharaan dilakukan dengan segera kerana bilangan Harimau Malaya hanya sekitar 300 ekor sahaja.

Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku terhadap badak Sumatera yang sebelum ini berkeliaran di hutan kita tetapi sejak 2015, ia secara rasmi diumumkan sudah pupus di habitat liar.

Dasar-dasar perlindungan dan pemuliharaan hutan serta hidupan liar yang pragmatik dan mesra alam yang disokong oleh masyarakat dan agensi berkaitan berupaya menjamin kemandirian hidupan liar.

Disebabkan peningkatan kadar kepupusan, kematian dan penurunan populasi hidupan liar, langkah serta usaha pengenalan kepada kesedaran dan pengetahuan mengenai peranan dan kepentingan hidupan liar kepada masyarakat sangat penting.

Antara lain melibatkan guru-guru di sekolah dan ibu bapa dalam memberi kesedaran berterusan kepada generasi muda sejak kecil lagi tentang kepentingan melindungi dan memulihara khazanah alam ini.

Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) adalah contoh program sukarelawan yang berjaya membabitkan orang ramai dalam memerangi pemburuan haram spesies harimau.

Malah kerjasama padu daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan diperlukan bagi merealisasikan impian supaya hidupan liar dapat dipulihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi masa hadapan.

Akhirnya, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) perlu dimantap dan diperkasakan dalam memerangi penjenayah hidupan liar.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!