Harimau Malaya tagih bisa De Paula

Aksi De Paula ketika Perak FC menentang Penang FC pada perlawanan persahabatan Ahad lalu. - Foto FB Perak FC
Aksi De Paula ketika Perak FC menentang Penang FC pada perlawanan persahabatan Ahad lalu. - Foto FB Perak FC
A
A
A

PENYERANG Perak FC, Guilherme De Paula diharap berada dalam prestasi terbaik sebelum dipanggil mengikuti kem latihan skuad Harimau Malaya selama 10 hari seperti dijadualkan bermula 20 Mac ini.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, De Paula harus terlebih dahulu menunjukkan kemampuannya sebaik sahaja saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bermula Jumaat ini.

“Pastinya ini satu berita baik kepada skuad kebangsaan apabila De Paula diumumkan sebagai pemain naturalisasi ketiga. Saya juga mengharapkan sesuatu daripada De Paula untuk membantu untuk memantapkan lagi jentera serangan.

“Bagaimanapun, saya tidaklah meletakkan tanggungjawab 100 peratus kepadanya. Selain berada pada prestasi terbaik, saya juga harap dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan dan enjoy jika mengikuti kem latihan nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Perak FC memaklumkan pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu telah didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi mengharungi saingan Liga-M 2021.

Perkhabaran itu sekali gus menyaksikan De Paula yang pernah menyarung jersi Selangor, PDRM FA dan Kuala Lumpur menjadi pemain naturalisasi ketiga Harimau Malaya.

Sebelum ini, Harimau Malaya sudah memiliki dua pemain naturalisasi - Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi. Namun, Liridon masih belum mendapat peluang membarisi skuad Harimau Malaya.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pula berkata, anak-anak buah Cheng Hoe akan tetap menjalani latihan pusat mulai 20 Mac ini biarpun Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ditunda ke Jun depan.

Artikel Berkaitan:

"Ruang ini sudah tentu akan digunakan sebaiknya oleh beliau untuk menilai senarai 23 pemain yang bakal dipanggil dan digandingkan dalam skuad kebangsaan setelah lama berehat, tidak berada dalam satu pasukan sama dan tiada perlawanan kompetitif.

"Lebih-lebih lagi Liga Super yang akan bermula pada 5 Mac nanti, sudah tentu pemain berada pada prestasi dan momentum terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Train for Trainers di Banda Hilir di Melaka.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan penangguhan baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G yang sepatutnya berlangsung pada Mac.