X

Kindly register in order to view this article
!

Maidam sedia 16,000 lot ‘rumah akhir’

Projek menaiktaraf Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga, Kuala Terengganu yang sedang rancak berjalan. Gambar kecil: M Rozi Bidin
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerja menaik taraf Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu kepada tanah perkuburan dalam taman adalah yang pertama seumpamanya di Terengganu.

Menggunakan konsep yang lebih moden dan sistematik, usaha yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu sekali gus menjadikannya sebagai projek rintis kepada pengurusan tanah perkuburan yang lebih baik, di samping guna tanah yang lebih efisien dan tersusun.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata, projek yang berkonsepkan wakaf itu bernilai RM3.9 juta dan sehingga kini, sumbangan yang diterima mencecah RM1.7 juta.

“Tanah perkuburan Islam ini seluas 5.1832 hektar, yang mana perancangan pelaksanaannya adalah menaiktaraf supaya susun atur tapak kubur lebih sistematik dan mempunyai pengurusan yang lebih baik.

“Apabila siap, akan ada 16,000 lot, iaitu satu jumlah yang besar untuk menempatkan lebih banyak jenazah pada masa akan datang. Apabila siap nanti, waris si mati juga boleh mendapatkan segala maklumat, termasuk kedudukan kubur melalui kemudahan sistem e-Pusara yang akan disediakan.

Model bagi projek wakaf Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga di Kuala Terengganu.
Model bagi projek wakaf Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga di Kuala Terengganu.

“Selain daripada itu, ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan awam lain seperti dewan serba guna, surau, tandas, ruang menunggu dan pejabat pengurusan. Pemasangan lampu bagi kemudahan pengebumian, membina wakaf bagi kemudahan pengunjung dan tempat letak kenderaan awam juga disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas M Rozi, pelancaran rasmi bagi wakaf Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga itu telah dibuat pada 26 Februari tahun lalu bagi mengajak orang ramai untuk turut serta berwakaf bagi menjayakan projek ini.

Katanya, pihak Maidam masih lagi membuka peluang kepada orang ramai untuk terus membuat sumbangan wakaf bagi menjayakan projek berkenaan, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini, projek ini sudah hampir 52 peratus siap. Kita akui untuk menjayakan projek ini, ia memerlukan kos sebab itu kita mulakan dengan projek rintis di Bandaraya Kuala Terengganu dahulu dan jika penerimaan masyarakat baik, kita akan perluaskan di setiap daerah.

Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga ini adalah tanah perkuburan dalam taman yang lebih sistematik dan tersusun yang seumpamanya di Terengganu.
Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga ini adalah tanah perkuburan dalam taman yang lebih sistematik dan tersusun yang seumpamanya di Terengganu.

“Di Terengganu isu kekurangan tanah kubur tidak timbul, cuma di Maidam, kita nak tanah perkuburan yang lebih tersusun, bersistematik dan terjaga. Disebabkan itu, kita ambil inisiatif ini, selain menggalakkan orang ramai berwakaf, kita nak menggalakkan dan mendidik masyarakat untuk menjaga ‘rumah akhir’ kita,” katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan perlaksanaan projek itu berjalan lancar, Maidam telah mengunjungi dan mempelajari pengurusan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Lebuhraya KL-Karak dan ke Singapura.

“Apabila beroperasi nanti, satu unit khas yang akan mengawal dan menguruskannya. Kita juga akan standardkan setiap lot kubur itu dengan kebuk dan batu nisan yang sama dan tiada binaan lain yang dibenarkan.

“Insya-ALLAH, kita harapkan Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga ini sebagai penanda aras sistem pengurusan tanah kubur yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!