Remaja kanser mata rindu ke sekolah

Ahmad Saifullah sentiasa ditemani ibu dan bapanya di rumah mereka di Lorong Kubur Alor Pasir, Kampung Repek, Rantau Panjang.
Ahmad Saifullah sentiasa ditemani ibu dan bapanya di rumah mereka di Lorong Kubur Alor Pasir, Kampung Repek, Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang remaja berusia 13 tahun terpaksa melupakan hasratnya ke sekolah susulan penyakit kanser mata tahap empat dihidapinya sejak berusia enam tahun.

Ahmad Saifullah Zamani memberitahu, dia begitu rindu untuk bersekolah seperti rakan-rakan lain.

"Tipulah jika saya tidak rindukan sesi persekolahan. Namun apakan daya keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

"Selain sekolah, saya juga teringatkan rakan-rakan. Sejak Covid-19 melanda negara, mereka tidak lagi datang melawat saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Lorong Kubur Alor Pasir, Kampung Repek di sini selepas menerima kunjungan daripada Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang diketuai oleh Pengerusinya, Pui Tiong Lam pada Ahad.

Menurutnya, dia sentiasa berdoa supaya diberikan kesembuhan kerana dia hendak ke sekolah.

Sementara itu, ibu kepada remaja berkenaan, Samsiah Abdul Ghani, 49, berkata, mata anak bongsu dari empat beradik itu mula membengkak sejak awal tahun ini.

Keluarga Ahmad Saifullah menerima kunjungan dan bantuan daripada Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK).
Keluarga Ahmad Saifullah menerima kunjungan dan bantuan daripada Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK).

Katanya, sebelum ini mata Ahmad Saifullah tidak seteruk sekarang, namun selepas beberapa kali gagal menjalani kemoterapi ia membengkak seperti itu.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang lapan tahun 'berperang' dengan penyakit itu Ahmad Saifullah sudah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 19 kali.

"Tetapi sejak tahun lepas dia enggan berbuat demikian walaupun kami serta doktor ada memujuknya," katanya.

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh Ahmad Saifullah ialah kerana rawatan tersebut menyakitkan serta dia bosan untuk tinggal lama di hospital.

Samsiah berkata, dia dan suami cuba menjaga Ahmad Saifullah sebaik mungkin dan terus memberikan kata-kata semangat serta doa supaya dia kembali sembuh seperti sedia kala.

Katanya, menjaga anak bongsunya itu tidak sukar kerana dia boleh bergerak sendiri tetapi hanya perlu dipantau dari segi pemakanan serta kesihatannya.

"Alhamdulillah belanja untuk Ahmad Saifullah juga ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350.

"Bantuan bulanan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga kerana pendapatan suami yang bekerja sebagai buruh tidak menentu," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank (1623-0264-8754) atas nama Zamani Abdullah.