Tolak tubuh parti baharu, Trump mahu tanding semula 2024

Trump ketika berucap pada Sidang Tindakan Politik Konservatif (CPAC) di Orlando, Florida pada Ahad. - Foto: AFP
Trump ketika berucap pada Sidang Tindakan Politik Konservatif (CPAC) di Orlando, Florida pada Ahad. - Foto: AFP
A
A
A

ORLANDO - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad memberi isyarat beliau mungkin bertanding lagi untuk merebut jawatan Presiden pada 2024.

Trump turut mengulangi tuduhan tidak berasas beliau tentang berlaku penipuan undi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November lalu yang menyaksikan kekalahannya kepada Presiden Joe Biden.

“Pergerakan patriot Amerika baru bermula dan kita akan menang,” katanya ketika berucap di Sidang Tindakan Politik Konservatif (CPAC) di Orlando, Florida.

Bilionair hartanah terbabit turut mengkritik Biden yang baru mengambil alih jawatan di Rumah Putih selama kira-kira sebulan dan cara pentadbiran beliau mengendalikan keselamatan di sempadan negara itu.

Teka-teki sama ada Trump akan menubuhkan parti baharu akhirnya terjawab walaupun Presiden ke-45 AS itu pernah berbincang tentang pelan tersebut beberapa bulan lalu.

“Tiada penubuhan parti ketiga. Kita sudah mempunyai parti Republikan. Ia akan menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini,” ujarnya. - Agensi

Artikel Berkaitan: