Penjelasan Santhara belum cukup: Prabakaran

PRABAKARAN
PRABAKARAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran meminta penjelasan lanjut daripada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berhubung cuti selama 55 hari ke New Zealand.

Prabakaran berkata, walaupun jawapan telah diberikan menerusi kepala surat Kementerian Wilayah Persekutuan yang disiarkan melalui Facebook beliau pada Isnin, namun terdapat beberapa isu yang masih perlu diperjelaskan.

"Pada masa negara sedang berdepan dengan beberapa krisis seperti Covid-19 dan krisis ekonomi, apakah rasional seorang timbalan menteri yang mempunyai tanggung jawab kepada rakyat dan negara untuk mengambil cuti selama 55 hari?

"Kita akur jika ambil cuti disebabkan kecemasan dan keselamatan tetapi alasan bercuti diberikan tidak begitu meyakinkan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini Santhara menjelaskan memohon cuti selama 55 hari bagi melawat keluarga di New Zealand dan permohonannya telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 Disember lalu sebelum diluluskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin pada 18 Disember.

Santhara juga memaklumkan telah mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian selain menjalani tempoh kuarantin seperti ditetapkan oleh negara berkenaan.

Mengulas lanjut Prabakaran berkata, rakyat Malaysia telah membuat banyak pengorbanan sejak penularan Covid-19 termasuk terpisah dengan keluarga di kampung disebabkan rentas negeri yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebilangan dari mereka hanya berada beberapa kilometer dari sempadan negara. Ramai yang masih berada di Singapura,Thailand dan di Indonesia, tidak dapat pulang kerana mereka faham keputusan MKN serta kebanyakan mereka tidak mampu untuk membayar kos kuarantin.

Artikel Berkaitan:

"Alasan yang diberikan Santhara telah menyakiti hati beberapa individu dan menganggap ini satu keistimewaan atau 'double standard' antara rakyat biasa dan ahli politik," katanya.

Beliau turut menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan fitnah yang mendakwa Santhara keluar masuk (berulang-alik) ke Malaysia.

"Sila nyatakan tuduhan dan fitnah tersebut secara terperinci. Timbalan menteri bercuti 55 hari di luar negara semasa negara dalam situasi darurat dan PKP adalah fitnah?

"Rakyat tidak dapat berjumpa dengan ahli Parlimen mereka semasa kawasan Parlimen anda dilanda banjir adalah fitnah? Mangsa kebakaran di Sentul Pasar, meminta untuk berjumpa dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan untuk menyatakan keluhan mereka adalah fitnah? Mana satu fitnah?

"Sekiranya ahli Parlimen yang bersuara dan mendedahkan salah laku seorang timbalan menteri adalah satu kesalahan yang harus disaman, saya bagi pihak rakyat bersedia menerima saman daripada beliau," katanya.