Muhyiddin peroleh injunksi sementara halang Puad

Muhyiddin dan Mohd Puad
Muhyiddin dan Mohd Puad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memperoleh perintah injunksi sementara bagi menghalang anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah membabitkan Perdana Menteri itu berhubung perintah kuarantin di akaun Facebook milik Mohd Puad.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Muhyiddin petang ini yang turut dihadiri peguam Datuk D P Naban dan Louis Liaw, juga mewakili Muhyiddin.

“Writ saman difailkan pagi ini dengan sijil perakuan segera untuk mendengar notis permohonan bagi injunksi sementara. Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan injuksi sementara itu sementara menunggu perbicaraan inter-parte (antara pihak) yang ditetapkan pada 12 Mac,” katanya kepada Bernama melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

Dalam notis permohonan ex-parte difailkan bersama dengan writ saman hari ini, Muhyiddin memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd Puad selaku defendan atau ejennya, wakilnya atau sesiapa sahaja daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi dan nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Muhyiddin berkata, permohonan itu perlu dibuat secara ex-parte kerana jika notis diberikan kepada defendan terdapat risiko bahawa defendan akan mensensasikan permohonan berkenaan menyebabkan pembaca akan berkongsi lanjutan hantaran tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin yang memfailkan writ saman dan penyataan tuntutannya menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, atas kapasiti peribadinya hari ini mendakwa pada 9 Feb lepas, Mohd Puad telah menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama 'Dr Puad Zarkashi' bertajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.

Dalam saman itu Muhyiddin yang merupakan plaintif mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin mendakwa hantaran itu merujuk kepada "PM" iaitu singkatan kepada prime minister atau perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.

Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.

Selain itu, Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu juga membawa maksud keengganannya untuk dikuarantin disebabkan Menteri Kesihatan mengeluarkan perintah baharu melalui Warta Persekutuan bahawa Jemaah Menteri yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negeri hanya akan dikehendaki kuarantin selama tiga hari sahaja dan dengan itu telah menolak arahan Ketua Pengarah Kesihatan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Ia juga membawa maksud bahawa plaintif enggan mengikut arahan-arahan ketua pengarah kesihatan, peraturan-peraturan di bawah Akta 342 dan Perintah Kawalan Pergerakan dan menyalahgunakan kuasanya untuk menyebabkan Jemaah Menteri dikehendaki menjalani kuarantin selama tiga hari sahaja bertentangan dengan arahan-arahan ketua pengarah kesihatan selain mendakwa plaintif tidak mempedulikan kesihatan orang ramai," kata Muhyiddin menerusi penyataan tuntutan itu.

Muhyiddin mendakwa akibat daripada hantaran oleh defendan, penyataan fitnah itu juga telah diterbitkan di beberapa portal berita termasuk Sinar Harian dan MalaysiaGazette selain defendan seterusnya membuat hantaran di Facebooknya bertajuk "Saman RM10 juta oleh Perdana Menteri" pada 19 Feb lepas berikutan tindakan perdana menteri itu menghantar surat tuntutan bagi menuntutnya membuat permohonan maaf dan membayar pampasan berjumlah RM10 juta.

Beliau juga mendakwa Mohd Puad sekali lagi pada 21 Februari lepas, jam 7.44 pagi, telah menerbitkan hantaran ketiga bertajuk "Bila Lagi Muhyiddin ke Luar Negara" di Facebook sama dan pada 23 Februari, jam 8.17 pagi, satu lagi hantaran diterbitkan oleh defendan bertajuk "Sudikah Muhyiddin Berdebat?" di Facebook serupa.

Menurut plaintif, pada 9 Februari lepas, Jabatan Perdana Menteri (PMO) telah mengeluarkan kenyataan media bagi menafikan secara mutlak hantaran yang dipersoalkan defendan dan menjelaskan bahawa Muhyiddin telah diberikan Perintah Pengawasan Di Rumah, dipakaikan gelang pengawasan sejak kepulangannya dari Jakarta, Indonesia pada 5 Februari lepas serta menjalani kuarantin di rumah.

"PMO telah meminta defendan untuk meminta maaf secara terbuka dengan serta-merta tetapi sehingga hari ini defendan menolak dan mengabaikan untuk berbuat demikian. Defendan juga gagal berkomunikasi dengan pejabat PMO untuk mengesahkan maklumat dalam penyataan-penyataan dalam hantaran yang dipersoalkan itu sebelum menerbitkannya," katanya yang turut mendakwa perkataan fitnah itu telah mencalarkan integriti, kredit, nama baik dan reputasi plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, faedah selain menuntut perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf mengikut terma yang akan ditentukan oleh plaintif serta perintah agar portal berita dan media sosial yang telah menerbitkan hantaran fitnah itu untuk menyiarkan permohonan maaf kepada perdana menteri terbabit. - Bernama