Perdaya doktor pelaburan RM450,000, Ahli perniagaan didakwa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas satu pertuduhan menipu dan memperdayakan seorang doktor berhubung pelaburan bagi projek pembekalan 'medical strapping pad' berjumlah RM450,000, enam tahun lepas.

A Sangeetha, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar.

Sangeetha bersama-sama dua orang lagi yang telah dituduh didakwa telah menipu S Vanita, 50, dengan memperdayakan wanita itu untuk mempercayai bahawa syarikat MS Medical Sdn Bhd akan diberikan projek pembekalan 'medical strapping pad' oleh Kementerian Kesihatan dan syarikat itu berjanji akan membayar kembali pelaburan tersebut dengan pulangan keuntungan.

Oleh itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM450,000, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara April dan November 2015 di sebuah kondominium, di Bandar Baru Ampang di sini mengikut Seksyen 420 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Shazwani Abdulah manakala tertuduh diwakili peguam K Harikrishnan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang kontraktor mengaku tidak bersalah melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap bekas pekerjanya di sebuah rumah di Kemensah Height pada 4.30 petang, 18 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

Tan Kean Tuck, 44, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Ooi Say Chee, 46, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan TPR Suriantiazila Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Daud Leong Abdullah.

Mahkamah membenarkan Tan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mei untuk sebutan semula kes. - Bernama