PBT perlu segera sediakan garis panduan asrama pekerja asing

David
David
A
A
A

BUTTERWORTH - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu segera menyediakan garis panduan asrama pekerja seperti yang disyaratkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) David Marshel berkata, langkah itu perlu dibuat supaya ia selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh JTK sekali gus boleh menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit terutama masalah sosial dan ekonomi.

Menurutnya, JTK sebelum ini telah mengeluarkan pekeliling baru di bawah Akta 446 - Akta Standard Minimum Perumahan Dan Perumahan Pekerja (Pindaan) 2019 yang mewajibkan majikan menyediakan asrama yang selesa dan teratur di bawah garis panduan yang disyaratkan oleh PBT bagi pekerja mereka.

"Di bawah akta dan standard yang ditetapkan oleh JTK di mana majikan dan pihak PBT perlu menyediakan asrama pekerja yang selesa dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Kita perlu mempercepatkan garis panduan di peringkat PBT agar selaraskan peraturan yang ditetapkan oleh JTK sekali gus ia akan menyelesaikan banyak masalah yang berlaku selama ini,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

David berkata, banyak aduan yang diterima daripada orang awam yang tidak selesa berjiran dengan pekerja asing di kawasan perumahan berikutan sikap dan budaya yang dibawa mereka ke negara ini.

Katanya, mereka tanpa segan silu mandi di luar rumah, menyembelih haiwan di kawasan perumahan tanpa menghirau sensitiviti rakyat Malaysia.

"Bukan itu sahaja, ada di antara mereka yang meminum arak dan melakukan perbuatan kutuk di khalayak umum, bergaduh sesama sendiri, bising dan banyak lagi perbuatan yang menyinggung perasaan masyarakat dan penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

"Kehadiran mereka di kawasan perumahan mengundang masalah sosial malah penduduk setempat rasa keselamatan mereka terancam dan tidak dapat menjalani kehidupan dengan tenang," katanya.

Selain itu, ramai juga pekerja asing yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah yang disewakan oleh majikan kerana ia lebih menjimatkan belanja sewa kerana murah.

Namun katanya, rumah kos rendah disediakan oleh pemaju di bawah dasar kerajaan sebenarnya disediakan untuk keluarga B40 atau golongan miskin supaya mereka dapat miliki rumah sendiri.

Tambahnya, ada pihak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan menyewa kepada pekerja asing semata-mata untuk mendapat pulangan lumayan dari kutipan sewa.

"Saya berharap garis panduan yang akan dibuat dapat dipertimbangkan supaya bangunan komersil seperti lot kedai boleh dijadikan asrama pekerja dengan kemudahan yang disyaratkan oleh JTK dan PBT bagi keselesaan pekerja.

"Saya dapati banyak bangunan komersil di kebanyakan tempat kosong tanpa digunakan khasnya tingkat satu dan ke atas berikutan alasan tidak bernilai untuk perniagaan selain jadikan pejabat.

"Ramai pemilik bangunan komersil yang perlu membayar insuran bulanan dengan pihak bank walaupun tingkat atas bangunan komersil tidak digunakan, maka PBT perlu membenarkan bangunan komersil digunakan sebagai asrama bagi pekerja,"katanya.

Beliau berkata, langkah itu dapat menyelesaikan pelbagai masalah bagi penduduk dan majikan yang hadapi isu pekerja asing dan asrama pekerja asing.

Sementara itu, David berkata, bagi kilang atau syarikat besar yang mempunyai pekerja yang ramai, PBT dicadangkan memberi kebenaran untuk membuat zon khas kawasan industri bagi membina asrama di kawasan pekarangan kilang.

Katanya, penempatan itu lebih teratur dan mudah dikawal namun perlu mengikut garis panduan teknikal asrama yang diluluskan oleh PBT dan JTK.

"Kita harus melihat semua cadangan yang diutarakan dapat mencari kaedah secara menyeluruh supaya isu pekerja asing dan hostel dapat selesaikan secepat mungkin bagi keselesaan semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang khuatir dengan kehadiran pekerja asing di kawasan mereka," katanya.